SEJAK di zaman universiti, dunia keusahawanan bukanlah satu yang asing buat Asyraf Kamal.
Malah, dia juga sudah mencabar diri dengan membuka pelbagai jenis perniagaan.
Dalam tempoh tersebut, pemuda berusia 32 tahun terbabit juga sudah menyimpan hasrat untuk mencipta perniagaan minuman kopinya sendiri.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Bertitik tolak daripada situ, Asyraf pada Jun 2021 memberanikan diri untuk memulakan perniagaan dengan menggunakan jenama kopi Saigon di tepi jalan di Kampung Dato Harun, Petaling Jaya, Selangor bermodal wang sendiri sebanyak RM3,000 dan sewa tapak RM300 sebulan.
Kini, tidak sampai empat tahun, Kopi Saigon yang terkenal dengan slogannya, 'Tiada hari tanpa kopi' berjaya melebarkan sayapnya dengan memiliki sebanyak 102 cawangan di Semenanjung Malaysia.
Berkongsi kisah permulaannya berniaga, Asyraf yang juga seorang jurutera di Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bangsar, Kuala Lumpur berkata, dia pada awalnya hanya melakukan perkara tersebut secara sambilan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik Covid-19.
“Semua perniagaan yang saya usahakan dibuat secara sambilan kerana masih bertugas sebagai jurutera TNB.
“Tambahan pula, kebanyakan perniagaan saya berbentuk perkhidmatan, jadi hampir semua terpaksa ditutup semasa PKP,” katanya.
Tidak patah semangat terhadap cabaran yang berlaku itu terhadap perniagaan sambilan diusahakan itu, Asyraf bersama isteri, Nurfarhana Abd. Rahim, 31, mula bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur untuk mengkaji dan meneliti perniagaan yang berpotensi dijalankan.
Asyraf berkata, ilham untuk memulakan Kopi Saigon tercetus selepas melihat trend minum kopi dalam kalangan warga tempatan yang semakin popular.
Dalam tempoh tiga bulan ketika terus memikirkan mengenai perkara tersebut, mereka akhirnya membuat keputusan membawa masuk biji kopi dari Saigon, Vietnam ke Malaysia.
Ilham itu tercetus selepas melihat trend minum kopi dalam kalangan warga tempatan yang semakin popular. Tambahan pula, dia turut menyifatkan aroma dan tekstur kopi dihasilkan cukup memikat hatinya ketika melancong ke Ho Chi Minh (nama baharu daerah Saigon).
“Namun, peringkat awal memulakan perniagaan minuman ini saya masih timbang tara sama ada Kopi Saigon akan membuahkan hasil ataupun tidak.
“Kiranya, usaha memulakan bisnes kopi ini sebenarnya merupakan pilihan terakhir buat kami suami isteri. Sekiranya gagal, saya rancang untuk kembali bekerja makan gaji manakala isteri pula akan kembali bertugas di bank,” ujarnya.
Budaya
Seperti kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Perancangannya terhadap perniagaan minuman kopi itu membuahkan hasil.
Tambah manis, rata-rata pelanggan mendapati rasa dan aroma kopi ditawarkan benar-benar sama seperti yang mereka rasai semasa melancong ke Vietnam.
“Jadi, tidak sukar untuk saya menjualnya, lagipun trend kopi jalanan di Malaysia masih baharu ketika itu.
“Resipi dan keistimewaan kopi Vietnam terletak pada bancuhan ‘rahsia’ kami dan susu pekat digunakan,” kongsinya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi perbezaan budaya menikmati secawan kopi.
Berdasarkan pemerhatiannya, sebahagian besar masyarakat tempatan sudah terbiasa minum kopi bersama gula.
Kopi Saigon kini memiliki sebanyak 102 cawangan di Semenanjung Malaysia. — Kopi Saigon
Namun bagi masyarakat Eropah, mereka cenderung menghirup kopi pahit sehingga menganggap minuman dibancuh bersama gula adalah kopi palsu.
“Sebab itu di sini saya bagi solusi kepada mereka yang mahukan kopi berkafein tinggi dan pahit, tetapi masih ada rasa lemak manis, maka pilih perisa Kopi Kelapa.
“Selain itu, minuman paling laku di Kopi Saigon ialah Buttercream. Rasanya buttery, berkrim, masin, manis dan pahit. Kopi yang digemari ala orang Eropah, saya gabungkan dengan cita rasa kita (Malaysia),” ujarnya yang merupakan anak kelahiran Felda Pasak, Kota Tinggi, Johor.
Dia yang merupakan penerima biasiswa TNB mengambil keputusan berhenti selepas enam tahun berkhidmat bersama syarikat tersebut ketika Kopi Saigon sudah mempunyai 24 cawangan.
“Apabila bekerja terpaksa berlari ke sana sini sehingga tidak mampu untuk memberi komitmen sepenuhnya pada tugas hakiki. Situasi itu membuatkan saya berasa tidak adil, seolah-olah tidak berkat bekerja di TNB.
“Hampir sebulan pihak majikan tawar balas agar tidak berhenti kerja. Mereka tidak mahu saya berhenti hanya kerana berniaga kopi,” imbasnya.
Perjalanan jatuh bangun
Selepas mengambil keputusan besar tersebut, bermulalah karier Asyraf sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kopi Saigon.
Jika bekerja di pejabat antara pukul 8 pagi hingga 5 petang, kini beliau bertugas selama 24 jam setiap hari demi kelangsungan bisnes.
Bercerita mengenai pahit dan manis berniaga, Asyraf yang melaksanakan operasi perkhidmatan kepada perniagaan (B2B) dan pelesenan, pernah berdepan insiden salah satu cawangannya melanggar perjanjian apabila menggunakan barangan sendiri.
“Saya dapati mereka tidak menggunakan barang-barang wajib dan membelinya di tempat lain pada harga jauh lebih murah. Impaknya, tekstur rasa berubah sehingga mendapat aduan daripada pelanggan.
“Lalu saya menghantar pasukan audit dan memberi notis amaran supaya perkara sama tidak berulang,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, jenama Kopi Saigon juga merudum selepas Asyraf membuat kemunculan dalam video kendalian produksi persendirian.
Ia susulan hasil suntingan video itu mencetuskan kontroversi dek menyiarkan petikan Asyraf menyatakan kebanyakan kopi Vietnam adalah haram kerana mengandungi lemak babi dan arak merah.
Asyraf menunjukkan antara merchandise dihasilkan Kopi Saigon.
“Boom! Video tersebut mencatatkan tiga juta tontonan dalam masa dua hari. Saya dikecam teruk sehingga pemilik cawangan Kopi Saigon beranggapan pihak ibu pejabat sengaja membuat strategi pemasaran kurang bijak. Panik saya dibuatnya hingga tak lena tidur.
“Sebagai orang Islam, sudah tentu saya menggunakan biji kopi halal. Kemudian pasukan media Kopi Saigon bertungkus-lumus membalas hampir 6,000 komen di media sosial berbunyi, ‘Salam kami daripada Malaysia, pengasas Kopi Saigon Muslim, sila tengok video penuh,” jelasnya yang turut menerima permohonan maaf pihak produksi terbabit dan membantu meredakan kontroversi melanda.
Patuh syariah
“Seminggu selepas itu, saya sekali lagi keluar dalam video siaran produksi sama bagi memberi penjelasan bahawa stok biji ditawarkan di Kopi Saigon mematuhi syariah.
“Bersyukur jualan meningkat sebanyak 20 peratus kerana pengguna ingin mencuba keistimewaan Kopi Saigon. Kedai kembali sibuk menyaksikan pelanggan beratur panjang,” ujar anak kedua daripada empat beradik itu.
Tidak berhenti di situ sahaja selang beberapa bulan, timbul pula gerakan boikot pada minuman yang didakwa ada kaitan dengan Zionis.
“Ketika itu para penggemar matcha terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak mula mencuba minuman perisa sama di Kopi Saigon dan mereka tidak menyangka kualiti dan rasanya setaraf jenama kopi antarabangsa.
“Bertitik tolak daripada momen tersebut saya lancarkan tiga perisa minuman matcha dan tiga lagi coklat. Jualan meningkat kepada 40 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, belum sempat menitipkan buat mereka yang ingin berjaya dalam perniagaan harus sentiasa mencuba dan berusaha.
Tuturnya ringkas, “If you fail, try harder. Kebanyakan rakan usahawan yang berjaya hari ini pernah mengalami kegagalan tatkala membuka ‘pintu’ pertama.
“Saya sendiri sebelum ini menjalankan bermacam-macam perniagaan dan pernah jatuh. Tapi, kegagalan itu mendorong saya menjadi lebih kuat. Prinsipnya mudah, tuah akan datang kepada orang yang berusaha,” kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram