SEORANG pemandu parah manakala enam penumpang yang juga pelancong China cedera selepas bas persiaran dinaiki terbabas sebelum terbalik di Jalan Sibuga, Sabah pada Ahad.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Severinus@Mohd Nidzam memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 9.15 pagi.
BACA LAGI: Atlet paragliding Malaysia maut ketika latihan di Thailand, sempat beri wang umrah kepada ibu bapa
"Setiba di lokasi mendapati kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran membawa pelancong dari China seramai 17 orang terdiri daripada 13 dewasa manakala empat kanak-kanak.
"Enam pelancong cedera manakala pemandu parah dan semua mangsa dihantar ke HDOK (Hospital Duchess Of Kent) oleh orang awam sebelum jentera bomba tiba di lokasi kejadian," katanya menurut laporan tersebut.
Dalam pada itu, Severinus memaklumkan pasukan bomba turut menjalankan operasi membersihkan tumpahan minyak di lokasi kejadian.
"Operasi ditamatkan pada pukul 10.42 pagi," katanya.
Dalam pada itu, rakaman detik-detik sebelum kemalangan turut tular di media sosial dengan bas berkenaan dilihat memotong di lorong kanan sebelum ia didapati terbalik ketika melalui satu selekoh.
Ketika insiden, cuaca di lokasi didapati dalam keadaan hujan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram