ATLET paragliding negara, Muhammad Nurniqmat Ruslan meninggal dunia selepas terjatuh ketika sesi latihan di pantai Hua Hin, Prachuap Khiri Khan, Thailand dalam satu insiden pada Jumaat.
Bapa kepada Allahyarham, Ruslan Mehat berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anak bongsunya itu memberikan sejumlah wang kepadanya untuk mengerjakan ibadah umrah.
"Anak saya baru sahaja memberikan duit kepada saya dan ibunya untuk kami mengerjakan ibadah umrah. Tidak sangka ini adalah hadiah terakhirnya bagi kami berdua.
BACA LAGI: KKB 'hidden gem' aktiviti lasak, paragliding dan rafting antara 4 sukan ekstrem wajib cuba
BACA LAGI: 'Saya boleh terbang!', lelaki buta usia 77 tahun lawan rasa takut 'takluk' paragliding di KKB
Jenazah Allahyarham sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Darul Abideen, Bangkok. — Bernama
"Nurniqmat memberikan wang tersebut dengan niat membantu keluarga dan bagi kami menunaikan ibadah di Tanah Suci nanti. Tetapi, ketika itu, kami tidak bersangka apa-apa," katanya kepada media ketika ditemui di Tanah Perkubaran Islam Masjid Darul Abideen, Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Ruslan yang berusia 64 tahun berkata, mereka sekeluarga menerima perkhabaran duka itu pada Jumaat petang dan segera membeli tiket untuk ke Bangkok pada hari kemudian sebelum meneruskan perjalanan ke Hua Hin.
Menurutnya lagi, Nurniqmat yang juga bertugas sebagai jurutera sokongan teknikal di kilang IBM merupakan ahli keluarga penyayang selain sudah bergiat aktif dalam sukan paragliding sejak dua tahun lalu.
"Kami tidak pernah menyangka dia akan terlibat dalam insiden sebegini dan meninggalkan kami buat selama-lamanya. Kami reda dengan takdir ALLAH," katanya.
Kejadian berlaku di pantai Hua Hin, Thailand ketika Allahyarham sedang berlatih di samping rakannya. — Agensi
Ruslan turut menjelaskan bahawa Allahyarham merupakan pesakit buah pinggang, namun sudah menjalani pembedahan dua tahun lalu.
"Dia amat gembira selepas menerima buah pinggang baharu dan sering bersyukur dengan organ yang saya dermakan sesuai dengannya," katanya sambil meluahkan rasa syukur atas tindakan pantas Kedutaan Malaysia di Thailand yang membantu memindahkan jenazah dari Hua Hin ke Bangkok bagi urusan pengebumian.
Sementara itu, rakan kepada Nurniqmat, Rafiee Aziz yang juga berada ketika sesi latihan berkata, Allahyarham merupakan atlet terlatih dan layak ke pra Piala Dunia Paragliding di India pada Februari serta Kejohanan Asia di Kazakhstan, Mei kelak.
"Kami sama-sama sedang menjalani latihan di pantai Hua Hin dan cuaca ketika itu agak baik, namun tiba-tiba kemalangan berlaku dan dia terjatuh ke laut. Saya bersama rakan-rakan yang lain cuba menyelamatkannya, namun arus pada ketika itu sangat kuat.
"Nurniqmat kemudian disahkan meninggal dunia di hospital di Hua Hin," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram