Lapan penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar kemalangan ketika perjalanan rehlah


  • Massa
  • Ahad, 26 Jan 2025

Antara pelajar Malaysia yang masih menerima rawatan lanjut selepas terlibat dalam kemalangan di Mesir pada Sabtu. — Facebook/EME

SERAMAI lapan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Universiti Al-Azhar dilaporkan terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan rehlah (melawat) ke Port Said, Mesir pada Sabtu.

Menurut Education Malaysia Egypt (EME), dalam kejadian tersebut, lima daripada kumpulan pelajar terbabit mengalami luka ringan dan sedang dirawat sebagai pesakit luar.

Mereka terdiri daripada Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedo.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Harimau Malaya kena pukul casual Thailand dikejarkan ke hospital akibat hentakan di kepala

BACA LAGI: Atlet paragliding Malaysia maut ketika latihan di Thailand, sempat beri wang umrah kepada ibu bapa

"Manakala tiga orang pelajar, Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri, dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital," kata kenyataan itu.

Menurut EME, kemalangan tersebut juga mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar dengan institusi itu menghantar pegawai daripada Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said untuk membantu rawatan pelajar dan seterusnya memudahkan pengurusan bersama pihak hospital.

"Menjelang awal pagi Ahad, tiga orang pelajar yang dirawat dalam wad telah selamat dibawa ke hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.

"EME mendoakan agar kesemua pelajar yang terlibat akan sembuh seperti sedia kala dan diberikan kekuatan sepanjang perawatan.

"EME juga menasihatkan para pelajar agar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti agar terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini," ujar kenyataan itu lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram