Lelaki OKU kena pukul di pasar tani masih dirawat di HSNZ, laporan perubatan belum selesai


  • Primer
  • Ahad, 26 Jan 2025

Mangsa lelaki OKU terbabit yang berusia 47 tahun sebelum ini dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai pada 17 Januari lepas.

LELAKI Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dipukul di pasar tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman, Terengganu pada 17 Januari lalu masih dirawat di hospital dan berada dalam keadaan stabil.

Memetik laporan BH Online, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47, masih dalam pemerhatian petugas perubatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, menurutnya, laporan perubatan mangsa masih belum siap.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis Kemaman tahan seorang lagi suspek pukul, seret OKU langgar gerai pasar tani

BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru suspek pukul penunggang OKU langgar tapak niaga Pasar Tani Padang Astaka

"Sehingga semalam (Sabtu), saya berhubung dengan pihak hospital, masih lagi belum ada satu tarikh tertentu selesaikan laporan perubatan mangsa," katanya pada Ahad.

Pada Jumaat, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Wan Muhamad Wan Ja'afar memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan perubatan lelaki OKU terbabit.

3137978

Tangkap layar video tular memaparkan insiden lelaki OKU terbabit yang dipukul di Pasar Tani Padang Astaka Chukai.

Katanya, kertas siasatan berhubung kes pukul Nor Al Faizan Jusoh yang berusia 47 tahun sudah dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya.

Bagaimanapun, menurutnya, selepas meneliti kenyataan, pihak Pendakwa Raya meminta polis mendapatkan dahulu laporan siasatan lengkap daripada Hospital Kemaman.

Wan Muhamad turut berkata, polis akan memastikan siasatan akan dilakukan secara telus dan adil dengan sebarang kemas kini akan dikongsikan sekiranya perlu.

Seramai enam suspek ditahan polis bagi membantu siasatan dalam kes tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa lelaki OKU terbabit dipukul beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka Chukai dengan video mengenainya turut tular di media sosial.

Mangsa dipukul dipercayai selepas motosikal yang ditunggannya terlanggar salah sebuah gerai jualan sehingga menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah.

Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul dan disepak beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram