[VIDEO] Polis Kemaman tahan seorang lagi suspek pukul, seret OKU langgar gerai pasar tani


  • 112
  • Ahad, 19 Jan 2025

Lelaki OKU (tengah) terduduk selepas dipukul orang awam di pasar tani dekat Kemaman.

POLIS menahan seorang lagi suspek bagi membantu siasatan berhubung kejadian memukul seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mental di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Kemaman, Terengganu pada Jumaat.

Memetik laporan Berita Harian, Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja'afar berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman kira-kira pukul 11.30 malam Sabtu.

"Lelaki tersebut ditahan selepas hadir memberi keterangan di IPD Kemaman malam tadi (Sabtu)," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Masih ada orang baik', satu Malaysia berterima kasih 2 sahabat teman remaja perempuan berkaki ayam jalan di 'highway' sampai polis datang

BACA LAGI: Sempat lari 20 minit, polis tahan 2 lelaki positif dadah

Wan Muhamad berkata, sebelum ini tiga lelaki berusia 18 hingga 60 tahun ditahan pada hari kejadian bagi membantu siasatan.

"Pihak kami turut memanggil seberapa saksi lain untuk diambil keterangan termasuk ahli keluarga mangsa.

“Kita akan jalankan siasatan secara menyeluruh dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Jumaat lalu, mangsa seorang OKU mental berusia 47 dipukul beberapa individu.

Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pembeli di pasar tani berkenaan.

Mangsa dipukul dipercayai selepas motosikal ditunggannya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual terjatuh dan tumpah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram