SEORANG bakal pengantin maut selepas kereta yang dinaikinya merempuh sebuah lori ketika cuba memotong kenderaan lain dalam kejadian di Kota Tinggi, Johor.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, kemalangan itu berlaku di Kilometer 53 Jalan Johor Baru-Mersing kira-kira pukul 4 petang Sabtu.
BACA LAGI: Atlet paragliding Malaysia maut ketika latihan di Thailand, sempat beri wang umrah kepada ibu bapa
“Wanita berusia 22 tahun itu yang memandu kereta jenis 'hatchback' cuba memotong kenderaan di hadapan dengan memasuki laluan bertentangan namun akhirnya bertembung dengan sebuah lori dari arah hadapan.
“Adik lelaki wanita berusia 14 tahun itu turut berada di dalam kereta sebagai penumpang ketika mereka dalam perjalanan dari Kota Masai, Johor Bahru ke Tanah Merah, Kelantan, tempat yang mana mangsa akan berkahwin tidak lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, wanita itu mengalami kecederaan parah akibat impak kemalangan terbabit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Adiknya dan pemandu lori berusia 40 tahun turut cedera dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk rawatan perubatan,” katanya sambil menambah mayat wanita itu turut dihantar pusat perubatan sama untuk bedah siasat.
Yusof berkata, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram