JERSI baharu pasukan kebangsaan Harimau Malaya keluaran Puma yang dilancarkan pada Khamis masih hangat menjadi bualan dalam kalangan penyokong bola sepak hingga kini.
Walaupun jersi baharu pasukan negara direka menggunakan teknologi ULTRAWEAVE revolusioner Puma, ramai yang berpendapat rekaan jersi tersebut terlalu biasa.
Malah, rekaan itu juga dianggap gagal menonjolkan identiti unik pasukan negara oleh segelintir penyokong.
BACA LAGI: Sebelum Harimau Malaya, Selangor FC antara 3 kelab pernah sarung jersi Puma
Hal ini kerana, rekaan jersi itu dilihat lebih sederhana dengan dominasi warna utama pasukan dan elemen corak yang dianggap kurang menyerlah.
Beberapa peminat meluahkan rasa kecewa kerana jersi tersebut tidak membawa semangat Harimau Malaya yang selama ini menjadi kebanggaan.
Bagi mereka kolaborasi dengan jenama antarabangsa itu tidak membawa keuntungan kerana rekaan 'kit' terlalu ringkas selain tidak mempunyai identiti tersendiri.
Hal ini berbeza dengan imej yang ditampilkan tiga kelab Liga Super yang tidak perlu berada di bawah syarikat ternama pakaian, namun hasilnya amat memukau baik dari segi pemilihan tekstur dan rekaan.
KL City FC — Jenama HNDRD
HNDRD menyediakan beberapa jersi keluaran istimewa buat skuad Warga Kota bagi tujuan memanaskan badan dengan hampir kesemua daripadanya amat memukau. — KL City FC
Jersi baharu KL City FC hasil kerjasama dengan jenama tempatan, HNDRD, berjaya mencuri perhatian dengan rekaan moden dan segar.
Baju yang asasnya menggunakan warna putih bercorakkan belang merah sememangnya istimewa kerana ia memberi kelainan berbanding jersi mereka tahun-tahun lalu.
Rekaan itu turut menonjolkan elemen tradisional yang disulam dengan teknologi fabrik terkini, memastikan keselesaan maksimum buat pemain.
Tidak cukup dengan itu, HNDRD turut menyediakan beberapa jersi keluaran istimewa buat skuad Warga Kota bagi tujuan memanaskan badan dengan hampir kesemua daripadanya amat memukau.
Kedah FC — Jenama Al Ikhsan
Walaupun tampak sederhana, namun gabungan warna jersi KDAFC sudah cukup memukau mata penyokong skuad Sang Kenari itu sendiri. — KDAFC
Kedah Darul Aman FC (KDAFC) tidak ketinggalan memperkenalkan jersi baharu yang mendapat sentuhan ALX jenama yang dimiliki oleh Al-Ikhsan.
Jersi 'home' KDA FC yang dilancarkan itu menampilkan warna hijau dan kuning manakala jersi 'away' pula berwarna hijau yang disulami sedikit warna merah.
Bagi jersi penjaga gol pula menampilkan tiga warna iaitu ungu, biru dan hitam.
Walaupun tampak sederhana, namun gabungan warna jersi tersebut sudah cukup memukau mata penyokong skuad Sang Kenari itu sendiri.
Penang FC — Jenama Kaki Jersi
Penang FC tampil dengan jersi baharu hasil ciptaan jenama tempatan, Kaki Jersi. Rekaan jersi itu menonjolkan gabungan warna biru dan putih, melambangkan warisan Pulau Pinang.
Dengan corak Harimau Kumbang yang elegan, ia memberi penghormatan kepada status pasukan itu sebagai sebuah kelab bola sepak yang tidak boleh dipandang sebelah mata.
Fabrik berkualiti tinggi yang digunakan turut mendapat pujian penyokong atas keselesaan dan ketahanannya.
Ketiga-tiga kelab itu membuktikan bahawa kolaborasi dengan jenama tempatan mampu menghasilkan rekaan berkualiti tinggi yang mampu memukau peminat.
Pada masa sama, ia menjadi langkah signifikan dalam mempromosikan industri tempatan di arena sukan tanah air. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram