Ibarat terkena badi, 3 kali Kedah tumpas di tangan 'ex coach', paling tak lupa masa Cheng Hoe bersama Selangor


  • Podium
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Sebahagian sesi latihan akhir barisan pemain Sang Kenari menjelang perlawanan bertemu Kuchong City FC saingan Liga Super pada Jumaat. — Facebook/KDAFC

KEDAH Darul Aman (KDA FC) akan berkunjung ke bumi Stadium Negeri, Sarawak untuk melengkapkan aksi ke-19 saingan Liga Super 2024 bertemu Kuching City FC.

Dalam aksi yang berlangsung pada Jumaat itu pastinya akan menyajikan penyokong tanah air dengan pertembungan menarik antara kedua-dua pasukan tersebut.

Manakan tidak, skuad yang kini dibimbing oleh Victor Andrag mengejutkan penyokong Hijau Kuning apabila berhasil mengikat PDRM FC dengan keputusan 3-3 dalam aksi semifinal pertama Piala Cabaran 2024 pada Sabtu minggu lalu meskipun turun dengan barisan pemain muda.

Begitupun, tidak kurang juga hebat dengan anak-anak buah Aidil Sharin Sahak yang berhasil menumpaskan PDRM FC dengan keputusan 2-0 aksi Liga Super pada 11 Januari lalu.

Kedua-dua pasukan kelihatan sudah cukup bersedia untuk menghadapi saingan Liga Super yang akan membuka tirainya pada Jumaat.

Melihat kepada rekod Sang Kenari dalam tiga perlawanan sebelumnya menentang pasukan berbeza, KDA FC dijangka menghadapi tugas berat untuk membawa pulang tiga mata penuh di laman lawan, memandangkan mereka tewas dalam ketiga-tiga pertemuan tersebut.

Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga bekas jurulatih yang pernah tundukkan Sang Kenari musim lalu.

Ayron

Faisal Halim (kiri) antara tiga pemain Gergasi Merah yang sering menjadi ancaman buat pasukan lawan.

1. Tan Cheng Hoe (Selangor FC)

Pada 24 Mei 2023, KDA FC yang ketika itu dibimbing oleh Nafuzi Zain berdepan kekalahan dengan keputusan 2-3 kepada Selangor FC dalam saingan Liga Super.

Ketika itu, Selangor FC masih dikendalikan oleh pengendali berpengalaman, Tan Cheng Hoe.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor, tiga pemain utama Gergasi Merah berjaya mencetak nama selaku penjaring iaitu bekas penyerang berbisa, Ayron Del Valle, Faisal Halim dan Noor Al-Rawabdeh.

Sementara dua gol Kedah pula dihasilkan oleh Amirbek Juraboev dan Willian Lira, namun ia tidak cukup untuk mengelak dari kekalahan.

Nasib malang turut menimpa pasukan Sang Kenari apabila pemain pertahanan Sang Kenari, Kamil Akmal Halim dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas dikesan mengasari pemain tuan rumah.

Bruno

Bruno Suzuki (tengah) muncul watak penting buat The Cops apabila mencetak gol tunggal di Stadium Darul Aman.

2. Azzmi Aziz (PDRM FC)

KDA FC mengalami kekalahan 0-1 kepada PDRM FC dalam saingan Liga Super pada 4 Mac 2023.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah itu menyaksikan The Cops yang ketika itu dibawah bimbingan Azzmi Aziz meraih kemenangan melalui gol tunggal yang dijaringkan oleh Bruno Suzuki pada minit ke-74.

Sudah jatuh ditimpa tangga, nasib malang turut menyelubungi Sang Kenari apabila pemain tengah mereka, Manuel Ott dilayangkan kad merah oleh pengadil pada babak kedua.

Keputusan itu menyaksikan Kedah terpaksa beraksi dengan 10 pemain, yang pastinya menjejaskan lagi usaha mereka untuk mencari gol penyamaan.

Kekalahan itu memberi kesan negatif kepada moral pasukan Kedah terutama sekali selepas mereka gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri.

Kuching

The Cats singkirkan Sang Kenari dalam saingan Piala Cabaran bagi musim 2023.

3. Aidil Sharin (Kuching City FC)

Sang Kenari mengalami kekalahan mengejutkan di tangan Kuching City FC dalam aksi suku akhir Piala Cabaran di laman lawan pada 4 Oktober 2023.

The Cats berjaya menyingkirkan Sang Kenari dalam saingan Piala Cabaran dengan agregat 4-0.

Bakal bertembung aksi Liga Super, Sang Kenari dijangka tertekan dengan prestasi cemerlang The Cats yang ketika ini tampil dengan momentum cukup baik.

Magis Aidil Sharin pastinya akan menjadi mimpi ngeri buat KDA FC yang kini hanya lebih bergantung kepada barisan pemain muda.

Sejak dilantik pada Ogos 2023, Aidil Sharin berhasil menyuntik aura baharu buat Kuching City apabila berjaya memperbaiki prestasi The Cats yang ketika itu berada dalam kedudukan tercorot Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram