SEBANYAK enam laluan jalan raya di Setapak, Kuala Lumpur telah diturap semula oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi.
Laluan tersebut ialah Jalan Semarak Api, Jalan Haji Palil, Jalan Chong Hwa, Jalan Langkawi, Jalan Kampung Haji Idris dan Jalan Kempas.
Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Andre Lai berkata, penurapan semula kesemua jalan berkenaan yang sebelum ini dilapor berlubang adalah satu kelegaan buat penduduk kawasan setempat.
BACA LAGI: [VIDEO] Kereta bertembung SUV, 2 maut termasuk 5 cedera di Tangkak
BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur
"Kesemua laluan ini merupakan jalan masuk ke kawasan kejiranan sekitar.
"Malah, cadangan untuk menurap semula Jalan Chong Hwa dan Jalan Langkawi telah dibangkitkan seawal 2020 tetapi disebabkan beberapa kerja utiliti yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan, pelan penurapan semula itu ditangguhkan sehingga akhir tahun lalu.
"Kerja-kerja penurapan semula di Jalan Langkawi adalah yang paling panjang meliputi 900 meter (m), manakala yang lain adalah di antara 200m hingga 300m,” katanya pada sidang media di Jalan Chong Hwa, Setapak baru-baru ini.
Tambahnya, kerja-kerja penurapan semula itu menelan kos lebih RM300,000.
“Ia juga termasuk pemasangan pagar tepi jalan di sepanjang Jalan Chong Hwa untuk keselamatan pejalan kaki,” ujarnya.
Terdahulu, laluan di sekitar Jalan Langkawi dilaporkan akan dinaik taraf berikutan aduan diterima daripada penduduk sekitar Disember tahun lalu.
Salah seorang penduduknya, Frederick Fong, 22, berkata, jalan itu rosak teruk akibat kenderaan berat yang kerap memasuki kawasan tersebut.
“Sangat sukar untuk memandu di sepanjang jalan. Selepas naik taraf, penduduk boleh menikmati pemanduan yang lebih lancar.
“Pagar tepi jalan juga meningkatkan keselamatan,” katanya sambil menambah bahawa pejalan kaki tidak perlu lagi takut dengan jenayah ragut yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.
Sementara itu, seorang pemandu e-hailing, Mohamad Kamarul Azrin, 33, berkata, jalan berlubang di Jalan Langkawi sebelum ini mengundang bahaya buat penunggang motosikal.
“Kami tidak dapat melihat jalan berlubang setiap kali hujan.
"Penambahbaikan itu pasti menjadikan perjalanan kami lebih selamat dan lancar," katanya. — The Star/JAROD LIM
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram