MaLLaM platform 'ChatGPT' versi tempatan, boleh komunikasi dialek Melayu


  • Bizz
  • Jumaat, 24 Jan 2025

Khalil berkata, penggunaan MaLLaM di platform AWS secara langsung memberikan pendedahan lebih meluas terhadap perkhidmatan ditawarkan syarikatnya. — Khalil Nooh

PADA Disember lalu, Amazon Web Services (AWS), sebuah syarikat di bawah Amazon.com mengumumkan syarikat pemula Malaysia yang khusus dalam latihan model bahasa raya (LLM) telah membangunkan LLM kecerdasan buatan (AI) generatif bahasa Malaysia dipanggil MaLLaM bagi digunakan dalam perkhidmatan awannya.

MaLLaM mempunyai kebolehan memahami nuansa tempatan seperti slanga dan bahasa digunakan dalam percakapan harian yang menggabungkan dialek berbeza bahasa Melayu dan 16 bahasa wilayah lain, untuk digunakan pembantu AI merentas industri.

Ia termasuk memberikan respons yang cepat dan tepat kepada pertanyaan dalam pelbagai bahasa, termasuk dialek dari pelbagai negeri Malaysia seperti Johor, Kedah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Mesolitica melatih MaLLaM menggunakan 197 set data merangkumi hampir 200 bilion token kandungan khusus Melayu yang tersedia secara terbuka untuk menyediakan sokongan AI yang relevan dengan budaya untuk aplikasi dalam perkhidmatan pelanggan, penghasilan kandungan, dan analisis data dalam bahasa tempatan.

Dengan AWS, Mesolitica kini boleh melaksanakan bukti konsep (PoC) dalam masa 24 jam, manakala AWS Asia Pasifik (Malaysia) Wilayah menyediakan pengurangan latensi sebanyak 20 peratus, yang kritikal untuk mencapai perbualan seperti manusia dalam pembantu suara AI.

2880486

MaLLaM mempunyai kebolehan memahami nuansa tempatan seperti slanga dan bahasa digunakan dalam percakapan harian menggabungkan dialek berbeza bahasa Malaysia.

Berkongsi kepada Majoriti, Ketua Pegawai Eksekutif, Mesolitica, Khalil Nooh berkata, perkembangan terbaharu itu secara langsung memberi pendedahan lebih meluas terhadap perkhidmatan ditawarkan syarikatnya.

"Jadi ini seperti memaklumkan kepada dunia bahawa di Malaysia terdapat Mesolitica yang ada MaLLaM.

"Dan siapa-siapa sama ada kerajaan, perniagaan korporat termasuk GLC (syarikat berkaitan kerajaan) yang nak guna AI tempatan bahawa mereka ada rakan kerjasama tempatan.

"Bagi Mesolitica juga, ini sebenarnya merupakan saluran kami untuk buat jualan dan promosikan perkhidmatan kami," katanya.

Khalil berkata, antara kerjasama signifikan berjaya dicapai ketika ini menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama RTM bagi projek pengklonan suara pengacara radio (DJ) dan sekali gus membantu inisiatfi AI yang sedang cuba dilaksanakan organisasi media tersebut.

Menurutnya, kerjasama itu meliputi pendedahan terhadap aspek kos, manfaat dan keselamatan berhubung penggunaan AI.

"Kalau kita perhatikan, tahun lepas, beberapa radio dah perkenalkan AI DJ mereka. Tapi pada masa sama, mereka juga perlu menjawab beberapa persoalan yang timbul antaranya mengenai apa yang akan terjadi kepada DJ mereka.

"Mungkin akan ada tentangan di peringkat awal. Cumanya mungkin menerusi kerjasama ini, inisiatif proaktif diambil RTM dengan AI bersama Mesolitica boleh bantu DJ yang ada sekarang untuk bekerja dengan lebih kreatif, cepat dan efektif," katanya.

Bina kapasiti bangun kedaulatan AI negara

1730266683378

Khalil (kanan) bersama Ketua Pegawai Teknologi Mesolitica, Husein Zolkepli.

Pada November tahun lalu, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memaklumkan pihaknya sedang meneliti kemungkinan untuk membangunkan LLM dalam bahasa Malaysia melalui kerjasama dengan universiti dan syarikat tempatan.

Dalam pengumuman tersebut, MOSTI berkata, Mesolitica menerusi LLM MaLLaM merupakan antara syarikat tempatan yang menjadi rakan utama dalam membangunkan inisiatif tersebuT.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Khalil berkata, Mesolitica akan bekerjasama dengan Agensi penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia (Mimos) yang berada di bawah Mosti bagi melatih LLM dengan menggunakan data disahkan agensi itu.

Pada masa sama, beliau berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada infrastruktur diperlukan dalam usaha membantu kerajaan membina kedaulatan AI negara.

"Di zaman data raya kini, kita mesti bercakap mengenai kedaulatan data. Jadi untuk pastikan itu, apa-apa cara kerja atau pemprosesan data, mesti dilakukan di dalam negara dan ia tak boleh keluar atau disimpan di luar negara," jelas beliau.

Sehubungan itu, Khalil berkata, menerusi kerjasama berkenaan, Mesolitica akan melatih LLM berdasarkan pemilik data di Malaysia termasuk daripada kerajaan.

1728043708734

Khalil (kanan) ketika bertemu Gobind. — Khalil Nooh

"Pada tahun lalu semasa bertemu dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan mencadangkan pelaksanaan program LLM nasional dan langkah pertama perlu djaankan adalah dengan mengumpul data diperlukan untuk melatih LLM.

"Tujuannya adalah untuk melatih AI, bukan untuk digunakan untuk analitik data atau dijual kepada pihak ketiga. Data ini khas untuk latihan LLM.

"Jadi, apa yang kami lakukan tahun lepas, ketika ingin melatih MaLLaM, kami mengambil masa selama 8 bulan untuk mengumpul atau menyusun data dari laman web awam, media, portal berita, dokumen kerajaan, dan portal kerajaan yang terbuka, termasuk apa yang tersedia laman web Dewan Bahasa dan Pustaka," katanya yang turut memaklumkan Mesolitca sudah selesai mengumpul data awam.

"Sekarang ini kami cuba mendapatkan data peribadi termasuk dari kerajaan atau pemilik media utama yang menghasilkan kandungan seperti RTM, Media Prima dan Astro," ujar beliau.

Khalil mengakui, secara asasnya, isu kedaulatan AI itu sememangnya tidak memberikan kesan langsung terhadap pengguna umum atau rakyat Malaysia.

Ini kerana menurutnya, ia menjadi penting sekiranya penggunaan AI itu melibatkan pihak kerajaan atau syarikat yang lazimnya membabitkan penggunaan data yang sensitif.

"Kalau tidak melibatkan data sensitif, ia tidak menjadi isu besar. Tapi isu akan timbul jika ia melibatkan data kerajaan.

"Itu juga salah satu kerisauan yang dibangkitkan daripada RTM. Sebabnya mereka ada terima tawaran untuk menggunakan teknologi model AI daripada syarikat China.

"Tapi perkara itu menimbulkan kerisauan untuk pihak IT di RTM. Mereka bimbang jika setuju, kemungkinan besar data itu akan sampai ke China.

"Walaupun ada perjanjian dan sebagainya, kemungkinan data itu sampai ke sana tetap ada," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram