BAGI pencinta buku yang mencari lebih daripada sekadar koleksi umum di kedai buku biasa, Tintabudi Bookshop terletak di Plaza TTDI, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur adalah destinasi ideal.
Kedai buku mandiri ini menawarkan pengalaman berbeza dengan koleksi terpilih buku terpakai dan baharu dalam bidang kemanusiaan seperti falsafah, sejarah, sosiologi dan sastera.
Apa membezakan Tintabudi Bookshop dengan kedai buku lain adalah dari segi tumpuannya terhadap pengalaman peribadi yang ditawarkan kepada pelanggan.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Pemiliknya, Nazir Harith Fadzilah, 37, sejak awal menceburi perniagaan tersebut, dia sememangnya sudah membayangkan untuk membina konsep kedai buku yang menawarkan pengalaman lebih peribadi kepada pengunjung yang ketika itu belum popular di negara ini.
Nazir yang berasal dari Ipoh, Perak mula menjual buku secara sambilan secara dalam talian ketika menuntut di RMIT University, Melbourne, Australia, bidang kejuruteraan.
Pemilik Tintabudi Bookshop, Nazir Harith Fadzilah.
Minatnya terhadap buku khususnya dalam bidang kemanusiaan, kemudiannya meneruskan bisnes itu selepas pulang ke tanah air pada 2016.
Pada awalnya memulakan perniagaan di di Ipoh selama enam bulan sebelum berpindah dengan membuka kedai buku di The Zhongsan Building, Kuala Lumpur (2017).
Di situ, Tintabudi Bookshop bertapak selama kira-kira enam tahun sebelum berehat kerana dia mengikuti isterinya berhijrah ke United Kingdom (UK) bagi melanjutkan pengajian sarjana pada 2022.
Dalam tempoh tersebut, dia turut berpeluang bekerja selama setahun di kedai buku terpakai, Any Amount of Books di Charis Cross Road yang terletak di tengah-tengah kota London.
Selepas setahun kembali ke tanah air, Nazir mengambil keputusan mengoperasikan semula Tintabudi Bookshop yang kini berpindah ke TTDI.
Your Independent Neighborhood Bookshop menjadi motto pilihan mengalu-alukan kehadiran pelanggan.
Menurut Nazir, berbeza dengan kedai buku pernah dilawatinya seperti di Australia dan UK, konsep kedai buku memberikan penekanan lebih peribadi masih agak asing di Malaysia.
"Saya ingat lagi masa awal-awal berniaga, kita belum biasa dengan kedai buku berkonsepkan personalize dan dekat dengan pembaca.
"Waktu itu, kebanyakan kedai buku hanya jadi platform medium of transaction," ujarnya yang turut menggunakan motto Your Independent Neighborhood Bookshop di premis terbaharunya.
Cogan kata tersebut turut terpampang di cermin pintu masuk kedai tersebut.
Menurut Nazir, pemilihan tajuk semata-mata bagaimanapun tidak mencukupi untuk memastikan pengalaman lebih bermakna buat pelanggan.
Menurutnya, penjual buku itu sendiri harus memainkan peranan khususnya dalam membina interaksi bersama pengunjung dan memperkenalkan koleksi dimiliki.
Antara koleksi buku ditawarkan di Tintabudi Bookshop.
"Semasa di UK, peranan penjual buku itu sangat penting dan mereka inilah yang membuka pintu kepada pembaca untuk mengenali buku ingin dibeli.
"Jadi, orang datang kedai buku boleh bertanyakan kepada penjual, buku apa yang menarik," katanya.
Ketika ini, Nazir berkata, operasi Tintabudi Bookshop turut dibantu oleh empat orang penjual buku daripada pelbagai latar belakang.
Ia termasuk bidang teknologi maklumat, rekaan dalaman, pengarang penerbitan antarabangsa dan aktivis sosial.
"Kriteria yang kami tetapkan adalah mesti ada rasa ingin tahu.
"Ada semangat dan ingin tahu bermacam-macam perkara mengenai buku," ujarnya.
Dalam pada itu, menerusi interaksi aktif bersama pelanggan, pihaknya turut mendapatkan maklum balas mengenai pemilihan tajuk buku yang boleh dibawa masuk ke kedai.
Tintabudi Bookshop menjual buku baharu dan terpakai khususnya dalam bidang kemanusiaan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai keperluan menyeimbangkan antara keperluan idealisme dan komersial dalam memastikan kemapanan operasi, Nazir berkata, langkahnya untuk berpindah ke premis baharu sedikit sebanyak meluaskan lagi pasaran pelanggan.
"Pelanggan setakat ini lebih umum kerana beroperasi di kawasan kejiranan. Jadi, kebanyakan yang datang hadir bersama keluarga.
"Justeru, kami juga banyak jual buku kanak-kanak, makanan dan naskhah popular.
"Tapi koleksi buku kami sebahagian besarnya masih kekal dengan teras asal iaitu bidang kemanusiaan," ujarnya yang turut mempunyai kedai dalam talian.
Menurut ketika ini, 70 peratus Tintabudi Bookshop datang daripada pembelian fizikal di kedai manakala selebihnya platform dalam talian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram