DI sebalik kemajuan yang berlaku terhadap sektor pengangkutan termasuk pengenalan kenderaan elektrik (EV), hubungan negara Asia Tenggara bersama motosikal tidak menunjukkan sebarang tanda ia akan pudar dalam masa terdekat.
Wilayah ini terkenal dengan kadar pemilikan motosikal yang tinggi, dijangka menyaksikan pasarannya mencecah pendapatan AS$32.94 bilion (RM146.99 bilion) pada tahun ini dan berkembang pada kadar tahunan 2.84 peratus sehingga 2029, menurut platform pengumpulan data Statista.
“Keindahan motosikal itu mewakili tulang belakang banyak ekonomi, terutamanya di negara pasaran baharu,” kata pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif iMotorbike, Gil Carmo.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Beliau menambah motosikal telah lama menjadi pilihan yang mudah diakses, lincah dan menjimatkan kos untuk kebanyakan isi rumah, menjadikannya sebahagian penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara seperti Vietnam, Indonesia, India dan Malaysia.
"Menariknya, biarpun Taiwan telah membangun ke tahap yang agak tinggi, tetapi kenderaan utama masih motosikal.
“Mereka tetap terikat kerana ia adalah kenderaan yang bukan sahaja memudahkan kehidupan seharian, tetapi membawa satu bentuk kebebasan dan keseronokan, sambil menjadi lebih kos efektif dan mesra alam,” tambahnya.
Gil meramalkan sektor motosikal global akan mengalami pertumbuhan berterusan selama beberapa tahun, sekali gus memberi kesan ketara kepada pasaran motosikal terpakai.
Gil menjelaskan bahawa mempunyai model perniagaan yang menawarkan perkhidmatan secara holistik membolehkan iMotorbike menyelesaikan masalah dihadapi pembeli dan penjual. — Gambar hiasan
Justeru, bagi memenuhi permintaan semakin tinggi platform terkemuka di Asia Tenggara, iMotorbike hadir memudahkan urusan jual dan beli motosikal terpakai.
Diasaskan oleh Gil dan Sharmeen Looi, perniagaan ini bertujuan menyediakan pengguna pengalaman selamat dan pantas merangkumi pemeriksaan kenderaan, penghantaran ke seluruh negara, jaminan wang dikembalikan dan perkhidmatan seperti insurans, cukai jalan, jaminan lanjutan serta pembiayaan.
Syarikat tersebut beroperasi di Malaysia dan Vietnam dengan ibu pejabat di Singapura.
"Pada pengetahuan kami, iMotorbike menjadi platform menjual motosikal terpakai paling banyak di Asia Tenggara," kata Gil.
Beliau berkata, syarikatnya baru-baru ini berjaya mencapai pelanggan ke-10,000 dan memperoleh jumlah pendapatan mencecah AS$10 juta (RM44.62 juta).
Tahun lalu, iMotorbike membuka bilik pameran tiga tingkat, seluas 4,281 meter persegi di Glenmarie, Shah Alam, Selangor yang menempatkan hingga 1,500 motosikal.
Perniagaan tersebut turut berkembang pesat, dengan rancangan untuk meluaskan operasi ke lebih banyak bandar di Malaysia dan luar negara.
"Ia sangat mengujakan. Saya percaya lebih banyak anda berkhidmat kepada orang ramai, lebih banyak pengiktirafan diperoleh.
"Saya tidak fikir apa yang kami lakukan adalah luar kebiasaan kerana kami hanya cuba menjadi benar-benar mahir dalam apa dilakukan,” katanya.
iMotorbike bermula pada 2016 sebagai laman web motosikal, sebelum menukar model perniagaannya pada 2021 untuk menjual motosikal terpakai dan menyokong pembelian serta penjualan.
"Adalah sangat menarik untuk mempunyai platform membincangkan mengenai motosikal dengan iklan yang banyak dan kami mempunyai berjuta-juta orang menggunakannya di seluruh negara.
"Tetapi ia sangat sukar untuk menukarkan menjadi sesuatu yang boleh diterjemahkan menjadi hasil pendapatan," ujar Gil.
Beliau menjelaskan bahawa mempunyai model perniagaan yang menawarkan perkhidmatan dari hujung ke hujung kini membolehkan iMotorbike menyelesaikan masalah dihadapi pembeli dan penjual.
Ciri utama iMotorbike termasuk pemeriksaan 170 mata yang komprehensif untuk setiap motosikal, polisi pemulangan enam hari dan waranti enam bulan.
"Mekanik kami sendiri memeriksa motosikal, memastikan keselamatan diutamakan dan pelanggan memiliki kenderaan diperbaharui," tambahnya."
Gil berkata, kualiti, kemudahan dan harga adalah pertimbangan utama dalam memenuhi jangkaan pelanggan.
“Kami mempunyai pelbagai jenis motosikal daripada julat harga terendah hingga tertinggi sehingga daripada pengguna harian kepada yang mahukan perjalanan menyeronokkan pada hujung minggu.
"Kami juga berkembang secara geografi supaya dekat dengan lebih ramai orang, dan mempunyai kemudahan menunda motosikal sekiranya diperlukan," ujarnya.
Selain itu, iMotorbike juga membantu bagi prosedur permohonan pinjaman dan insurans, memastikan penyediaan kertas kerja serta memudahkan lagi proses pembelian.
Di atas semua itu, Carmo berkata, jaminan, keselamatan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan adalah penting.
"Jika ada satu perkara yang membuatkan orang lari, ia adalah kekurangan kepercayaan.
"Di Asia Tenggara, secara purata orang memerlukan sebanyak tujuh kali gaji dalam setahun untuk membayar sepenuhnya motosikal
"Itu memberitahu kami betapa pentingnya orang ramai mengetahui pembelian dilakukan dengan wang titik peluh mereka akan dilindungi dan kami akan berada di sini jika berlaku sebarang masalah," katanya.
Motosikal merupakan tulang belakang kepada banyak ekonomi terutamanya di negara pasaran baharu. — Gambar hiasan
Bagi Carmo, salah satu cabaran utama mengurus perniagaan seperti iMotorbike ialah kompleksiti yang wujud.
"Setiap motosikal di sini adalah model dan tahun berbeza dengan jarak penggunaan yang berbeza
“Setiap satu diselenggara secara berbeza oleh pemilik sebelumnya. Terdapat begitu banyak pemboleh ubah dan risiko untuk dianalisis,” katanya.
Selain itu, terdapat kesukaran yang semakin meningkat untuk menguruskan logistik penghantaran yang melibatkan pelbagai pasukan dan proses latihan serta automasi ketika syarikat berusaha untuk berkembang pesat.
Menurut Carmo, tumpuan iMotorbike tahun ini adalah untuk mengukuhkan kehadirannya di Pulau Pinang dan Johor.
“Kami mahu mencapai tahap sama seperti di Kuala Lumpur. Kami juga sedang mencari kedudukan lebih menonjol di Vietnam, yang mempunyai 70 juta motosikal – enam hingga tujuh kali ganda daripada Malaysia.
“Ini adalah satu lagi cabaran – bagaimana untuk memastikan tahap kualiti, integriti dan pengalaman pelanggan sama. Itu akan menjadi bahagian persoalan yang mengujakan untuk dijawab,” katanya. — The Star/NICOLE CHEW
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram