Perjalanan 3 dekad bina jenama barangan kulit asli, tidak suka bersaing, fokus pembeli setia


  • Bizz
  • Selasa, 21 Jan 2025

Kamal memulakan perniagaan menjual barangan kulit sejak 1994 ketika berusia 22 tahun.

"BUKAN sekadar cantik, tapi ia dibuat untuk tahan lebih lama."

Demikian kata Kherul Kamal Mohd Rubi, 53, yang merupakan pemilik kepada jenama barangan kulit tempatan, Rushai Leather.

Bagi pencinta barangan kulit, pengalaman memasuki butik Rushai Leather pastinya rasa terpesona.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Mana tidaknya, mata akan dihidangkan dengan pelbagai produk bermula daripada beg tangan wanita, beg sandang, dompet dan aksesori kulit variasi rekaan.

Tidak cukup dengan itu, kualiti produk barangan dipamerkan juga dapat dirasai sebaik sahaja memegangnya.

WhatsApp Image 2025-01-20 at 15.42.01 (3)

Kamal banyak menimba ilmu dan pengetahu mengenai barangan kulit daripada abangnya.

Bermula dengan kedai pertama di Plaza Alam Sentral Shah Alam, Selangor yang dibuka pada 2000, Rushai Leather kini mempunyai dua lagi butik di Amcorp Mall, Petaling Jaya dan Dataran Pahlawan Bandar Hilir, Melaka.

Rushai Leather menghasilkan pelbagai produk berasaskan kulit berkualiti tinggi seperti beg tangan lelaki dan perempuan, dompet, tali pinggang, tali jam, kasut, topi dan jaket.

Berkongsi kepada Majoriti, Kherul Kamal lebih dikenali sebagai Kamal berkata, minatnya terhadap seni pembuatan barangan kulit itu timbul sejak sewaktu dia masih bersekolah selepas mendapat pendedahan daripada abangnya yang turut menghasilkan sendiri produk kulit.

Malah katanya, dia yang ketika itu sedang belajar di Kolej Vokasional Klang turut menjual barangan kulit hasil air tangan abangnya di sekolah.

"Jadi, selepas habis sekolah, saya terus ikut abang. Belajar daripada dia perihal barangan kulit," katanya.

Minatnya terhadap produk berasaskan material itu ketika usia muda turut membawanya ke meneroka pusat beli-belah, Pertama Complex, Kuala Lumpur yang terkenal sebagai pusat jualan barangan kulit.

"Dekat situ kita ambil banyak rujukan sebab semua ada di sana. Kita boleh jumpa pakar pembuat kasut, kulit dan beg," ujarnya.

WhatsApp Image 2025-01-20 at 15.42.01 (2)

Rushai Leather kini memiliki tiga cawangan butik.

Berbekalkan pengalaman tersebut, Kamal berkata, dia yang ketika itu baru berusia 22 tahun memberanikan diri untuk menjual barangan kulit buatannya sendiri pada 1994 di sekitar Lembah Klang.

Katanya, ketika itu, antara produk dijual ialah beg lelaki dan perempuan, tali pinggang, tali jam serta termasuk aksesori asas seperti rantai kunci.

"Kita pasarkan produk merata dengan promosi di reruai sementara contohnya di Pasar Seni dan Atria Damansara.

"Majlis konvokesyen pun kami sertai," katanya yang berbuat demikian selama kira-kira enam tahun sebelum membuka kedai pertama di Shah Alam menggunakan modal dikumpul sendiri.

"Waktu itu saya memang dah semat dalam kepala apa yang saya nak.

"Alhamdulillah apa yang saya nak tercapai apabila sehingga hari ini, dapat hasilkan produk menarik, up-to-date dan tahan lama.

"Sebab itu kami guna bahan kulit asli. Di situ kelebihannya. Bukan sekadar cantik, tapi tahan lebih lama," ujar anak jati Sabak Bernam.

Sentiasa berinovasi trend terkini

WhatsApp Image 2025-01-20 at 17.13.39

Antara variasi produk beg yang ditawarkan Rushai Leather.

Sementara itu, dalam berdepan dengan saingan daripada produk lain yang berada di pasaran termasuk jenama antarabangsa, Kamal berkata, dia tidak menganggap itu sebagai perkara negatif.

Menurutnya, Rushai Leather sudah pun mempunyai pendirian dan pengikut tersendiri.

Bagaimanapun, dia sentiasa terbuka untuk mengambil inspirasi daripada jenama lain demi memastikan produknya sentiasa selari dengan rekaan terkini yang mendapat sambutan peminat.

"Saya tak suka bersaing sebab bila ada jenama, kita ada pengikut kita sendiri. Ada yang suka ini, ada yang suka itu. Jadi kita kena ada pendirian.

"Kalau kita rasa kita ada produk yang bagus, teruskan tanpa perlu pandang kiri kanan. Tapi yang penting kena selalu up to date daripada segi rekaan.

"Kita tengok jenama yang nilainya berbilion dalam industri pun mereka akan ada juga sedikit ikut-ikutan. Itu memang ada. Sebab dalam fesyen ini akan ada dipanggil trendsetter diikuti oleh semua pihak," ujarnya.

WhatsApp Image 2025-01-20 at 15.42.01 (4)

Kamal (kiri) bersama salah seorang pelanggan di kedainya.

Pada masa sama, Kamal berkata, berbeza dengan produk lain di pasaran, dia turut meletakkan Rushai Leather sebagai jenama barangan kulit mampu milik.

Ujarnya, penawaran pada harga berpatutan itu dilakukan tanpa langsung berkompromi terhadap soal kualiti barangan dihasilkan.

Dalam pada itu, Kamal mengakui bahawa perjalanannya selama tiga dekad sebagai usahawan barangan kulit ini memerlukan kesabaran dan tekad yang tinggi

Tambahan pula, produk yang dijualnya itu adalah barangan aksesori bukan barangan keperluan utama pengguna.

"Perniagaan barangan kulit bukan mudah. Kalau usahawan tiada keazaman yang kukuh, mungkin lama-lama akan layu dan beralih kepada perniagaan lain.

"Saya pun ada satu fasa hampir hampir-hampir terpengaruh. Ada satu waktu itu, orang jual tudung macam jual pisang goreng.

"Kita sebagai peniaga memang nampak fenomena itu kiri kanan. Tapi nasib baiklah waktu itu kita berfikir tak apalah.

"Mungkin bukan rezeki saya dan bukan minat saya pun nak jual tudung ini. Jadi, saya cuba istiqamah dan buat benda ini sampai berjaya," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram