SEBUAH syarikat pastri dan pengarahnya yang membekalkan 366 sandwic pelbagai jenis didakwa di dua Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya pada Jumaat atas 14 pertuduhan menggunakan logo halal palsu supaya makanan itu boleh dimakan orang Islam.
Syarikat itu, Shake and Bake Cafe Sdn Bhd tular selepas salah satu variasi makanan yang disediakan mengandungi kepingan daging khinzir atau ham dijual di salah sebuah kedai serbaneka sekitar Universiti Malaya (UM).
Pengarahnya, Ewe Sarn Yeun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dr Sharliza Warnoh dan Noor Ruzilawati Mohd Nor.
BACA LAGI: Sudah rekod keterangan, polis siasat dakwaan Harith Iskander terima ugutan isu jenaka 'Ham'
BACA LAGI: Jakim panggil Harith Iskander kontroversi 'ham', 'ham sap'
Salah satu sandwic ditawarkan syarikat itu mengandungi daging khinzir.
Mengikut enam pertuduhan, dia didapati menawarkan untuk membekalkan 366 produk makanan sandwic membabitkan enam perisa yang diperihalkan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Produk makanan itu membabitkan 50 Mixed Tuna Sandwic, 43 Mixed Potato Sandwic, 77 Mixed Chicken Sandwic, 74 Egg Mayo Sandwic, 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.
Semua kesalahan itu dilakukan di Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada pukul 12.50 tengah hari, 10 Januari lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Perenggan 8(b) perintah sama yang boleh dihukum di bawah Perenggan 8(B) perintah sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, pengusaha berusia 65 tahun itu boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sarn Yeun dihadapkan ke dua mahkamah sekitar Petaling Jaya pada Isnin.
Dalam pada itu, syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd yang diwakili Sarn Yeun selaku pengarah turut tidak mengaku bersalah atas enam pertuduhan sama di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang berdepan denda maksimum RM200,000 manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Sarn Yeun yang juga berstatus Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat dan syarikatnya tidak mengaku bersalah masing-masing didakwa satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic itu di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.
Oleh itu, Sarn Yeun dan Shake and Bake Cafe didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 102(1)(i) dan Seksyen 102(1)(ii) akta sama bagi pengarahnya.
Bagi Seksyen 102 (1)(i) akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 manakala Seksyen 102 (1)(ii) akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan cap dagang berdaftar itu secara salah, atau penjara tidak lebih tiga atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Shafiq Mahadi dan Hakiim Izani mencadangkan jaminan RM60,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira ia membabitkan kes berkepentingan awam selain memohon syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di Pejabat KPDN, Putrajaya sebulan sekali sehingga kes selesai.
Sandwic mengandungi daging khinzir itu dijual di sebuah kedai serbaneka sekitar UM.
"Kes yang dipertuduhkan di mahkamah ini adalah rentetan daripada video yang tular di media sosial dan syarikat dan pengarah yang dipertuduhkan adalah pembekal kepada barangan yang menjadi isu.
"Sewajarnya, pertuduhan ini memberi mesej kepada pembekal lain tidak melakukan kesalahan yang sama," katanya.
Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Sarn Yeun dan syarikat itu memohon jaminan RM120,000 bagi semua pertuduhan dengan mengambil kira reputasi anak guamnya yang bagus dan memberikan kerjasama kepada KPDN sepanjang siasatan.
"Pihak kami menegaskan isu kepentingan awam dibangkitkan pendakwaan adalah bukan terhadap tertuduh ini, tetapi syarikat lain menjadi viral (tular) di dada akhbar dan media sosial, tidak membabitkan syarikat Shake and Bake Cafe. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram