BEKERJA di negara orang bukanlah suatu perkara mudah kerana setiap langkah atau keputusan dilakukan memerlukan kesediaan untuk menghadapi cabaran yang mungkin tidak terfikir sebelumnya.
Begitulah kehidupan Abdul Rahim Ahmad yang pernah berkhidmat selama lebih tiga dekad dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS).
Abdul Rahim bermula sebagai messenger sebelum memainkan peranan penting dalam menguruskan dokumen kawalan pada 1990.
BACA LAGI: Lumpuh bukan halangan, perjuangan remaja di Syria tuntut ilmu jadi pembakar semangat komuniti OKU
Abdul Rahim ketika berkhidmat di PBB New York sejak 1990 sehingga 2022.
Tugasnya juga menguruskan dokumen dan memberi sokongan dalam persiapan mesyuarat termasuk Mesyuarat Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung PBB.
Mengimbau kembali detik itu sebelum dia berhenti daripada kerjayanya dan pulang ke Malaysia pada 2022, Abdul Rahim berkata, ia merupakan pengalaman berharga yang mungkin tidak ramai wakil Malaysia dapat merasainya.
Sepanjang tempoh itu, katanya, ia dapat membuka matanya bagaimana diskriminasi awal terhadap agama Islam terutama ketika berlakunya pemberontakan Kumpulan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS).
Abdul Rahim juga berkesempatan berkongsi keadaan dan suasana ketika mesyuarat PBB dijalankan terutamanya apabila berbincang tentang hak negara Islam.
"Saya berada di dalam dewan itu dan kadang-kadang rasa sakit hati apabila terdengar perbincangan mereka.
"Sebab memang selalunya negara Islam seperti Iraq dan Yemen akan selalu ditindas," katanya kepada Majoriti.
Diskriminasi terhadap negara-negara Islam, termasuk Palestin juga menjadi perkara yang sering diperhatikan semasa mesyuarat-mesyuarat besar.
Kerap dilihat sebagai negara kecil, Abdul Rahim bagaimanapun percaya bahawa wakil Malaysia berusaha menyumbang dalam membuat keputusan penting walaupun tidak berada dalam kuasa veto lima negara besar.
"Di PBB, saya belajar bahawa politik antarabangsa itu rumit.
"Kadang-kadang, keputusan mesyuarat hanyalah formaliti kerana ada masanya perjanjian sebenar telah pun dibuat di belakang tabir," jelasnya.
Suasana di New York pada awal 1990-an.
Meskipun begitu, dia tidak dapat menafikan bahawa suasana di PBB tetap profesional dan pekerja Muslim diberikan ruang untuk menjalankan kewajipan agama seperti mendirikan solat.
Berkongsi pula tentang cabaran ketika menjalani kehidupan sebagai perantau Muslim pada waktu itu, Abdul Rahim berkata, mencari makanan, surau atau masjid adalah perkara yang sukar.
Dia bagaimanapun bersyukur dan beruntung kerana mempunyai majikan yang memahami dan menghormati keperluan agamanya.
"Ketika itu, nak cari makanan halal pun susah. Solat pula, saya pernah sembahyang di tepi tangga kecemasan kerana tiada tempat lain.
"Tetapi, zaman sekarang dah berubah dan di New York terutamanya sudah banyak kemudahan-kemudahan untuk orang Muslim," katanya.
Sebagai rakyat Malaysia, Abdul Rahim berasa tanggungjawab untuk memperkenalkan identiti negaranya yang ketika itu kurang dikenali.
Katanya, kebanyakan orang luar negara menyangka Malaysia adalah kawasan terpencil.
Namun, perubahan ketara dapat dilihat dengan jelas apabila Malaysia mula dikenali melalui pembangunan ikonik seperti Menara Berkembar Petronas ketika di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Antara tugas yang perlu dilakukan oleh Abdul Rahim ketika di PBB New York.
"Dulu, bila cakap saya dari Malaysia, mereka tanya, 'You live in the jungle?’ Tetapi, selepas Menara Berkembar Petronas dibina, barulah mereka kenal Malaysia sebagai negara yang membangun dan moden.
"Walaupun kita minoriti, jangan malu membawa identiti kita. Hormat budaya orang lain, tapi jangan kompromi prinsip kita," ujarnya bangga.
Sebagai individu yang berasal dari latar belakang sederhana, Abdul Rahim mengingatkan generasi muda Malaysia untuk berani mencuba serta mencari pengalaman baharu di luar negara walaupun cabarannya mungkin besar.
Baginya, penglibatan Malaysia di pentas antarabangsa perlu terus diperkuatkan supaya nama negara terus dihormati dan dikenali.
“Jangan takut keluar dari zon selesa. Dunia ini luas, dan pengalaman itu guru terbaik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram