SELEPAS negara memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April 2022, ratusan konsert telah dianjurkan termasuk yang berskala besar melibatkan artis tempatan dan antarabangsa.
Konsert-konsert tersebut menjadi platform untuk artis melepas kerinduan peminat dan memberi penghargaan kepada sokongan mereka selama ini.
Walau bagaimanapun, timbul persoalan sama ada konsert-konsert ini memberikan pulangan berbaloi kepada penganjur dan artis serta bagaimana untuk memastikan konsert mendapat sambutan.
Ketua Pegawai Eksekutif Truepixel Sdn. Bhd., Samsul Kamal Arrifin Mohd. Basir, yang berpengalaman luas dalam penganjuran pelbagai konsert bersama vokalis Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman (Awie), menjelaskan bahawa projek konsert merupakan sebuah percaturan begitu terperinci.
BACA LAGI: Power Rangers 'Pink' kini bomba berusia 50 tahun, watak penting Ops kebakaran dahsyat di LA
“Ia memerlukan perancangan yang rapi dan sumber kewangan yang besar. Penganjur perlu memastikan artis yang dipilih bersedia untuk bersama mereka, terutamanya melibatkan kos yang tidak kecil.
“Sebagai contoh, jika ingin membawa artis antarabangsa, bayaran kepada mereka boleh mencapai AS$150,000 (RM700,113.61). Kos tambahan termasuk sewa lokasi mencecah RM150,000 hingga RM200,000. Semua ini merupakan risiko awal perlu ditanggung oleh penganjur,” kongsinya.
Selain itu, artis antarabangsa sering kali menetapkan syarat tertentu termasuk harga tiket dan lokasi persembahan yang mesti mempunyai sekurang-kurangnya 3,000 penonton.
Penganjur perlu merancang dengan teliti bagi memastikan lokasi selesa buat artis. Namun, ia menjadi semakin sukar kerana banyak konsert diadakan secara serentak misalnya di Kuala Lumpur. Hal itu menjadikan ruang untuk menganjurkan acara semakin terhad.
Pemilihan artis
Samsul Kamal juga menekankan bahawa pemilihan artis yang tepat adalah kunci kejayaan sesebuah konsert. Penganjur perlu memastikan artis dipilih mempunyai kekuatan peminat cukup besar untuk menarik penonton.
Jika artis tersebut kurang dikenali atau kos terlalu tinggi, penganjur mungkin perlu mempertimbangkan pilihan lain yang lebih sesuai dengan pasaran.
Lokasi konsert memainkan peranan penting untuk mendapatkan jumlah penonton yang tinggi dan meraih untung besar.
Cabaran dan strategi kejayaan konsert
Samsul Kamal berkongsi bahawa menjual tiket secara dalam talian di kawasan Lembah Klang adalah mudah dan mendapat sambutan, namun di luar Kuala Lumpur seperti di Pulau Pinang, penjualan tiket secara fizikal terbukti lebih berkesan. Oleh itu, penganjur perlu fleksibel dan kreatif dalam merancang strategi promosi.
“Konsep persembahan juga memainkan peranan penting dalam menarik minat penonton. Sebagai contoh, konsert solo Awie mempersembahkan perjalanan kariernya sebagai penyanyi solo selama 30 tahun.
“Jadi percaturan berkenaan berjaya menarik minat peminat dengan tiket VIP dan Royal Box terjual habis dalam masa singkat,” jelasnya.
Kos konsert yang tinggi
“Kos boleh mencapai RM700,000 atau lebih, bergantung kepada gimik dan keperluan teknikal yang lain. Oleh itu, penganjur perlu bijak merancang agar konsert dapat menampung semua kos dan tetap memberi pulangan terbaik,” ujarnya.
Tiket konsert Awie (dua dari kanan) bersama kumpulan Wings sentiasa laris bak pisang goreng.
Keuntungan dan risiko
Menurut Awie, konsert adalah perniagaan penuh dengan risiko. Bagi artis seperti dirinya dan Wings yang telah lama dikenali, konsert mereka lebih berpotensi membawa keuntungan.
”Namun, bagi artis yang kurang dikenali atau belum mempunyai lagu-lagu hit, barangkali berdepan risiko penjualan tiket yang rendah.
“Kerugian boleh berlaku jika terdapat konsert lain yang lebih besar diadakan pada tarikh sama. Jualan tiket pasti terjejas apabila ada lebih banyak pilihan untuk penonton,” kata Awie.
Oleh itu, penganjur perlu merancang dengan teliti dan memastikan promosi dilakukan dengan kos yang efektif untuk menarik orang ramai.
Bagi Awie, konsert adalah salah satu sumber pendapatan utama bagi artis. Ia bukan hanya platform untuk menunjukkan bakat, tetapi untuk mengukuhkan kedudukan dalam industri.
"Walaupun semua artis berpeluang mengadakan konsert, tidak semua artis layak melakukannya. Penganjur lebih cenderung untuk memilih artis yang mampu menarik penonton dan tiket habis terjual kerana konsert memerlukan pelaburan besar,” maklumnya.
Suasana konsert Awie Journey berlangsung meriah dengan sokongan penuh peminat setia.
Artis yang terbukti popular dan mempunyai pengaruh seperti Wings, yang memerlukan hanya setahun untuk merancang konsert selepas album pertama mereka mencapai jualan 250,000 unit, lebih mudah menarik perhatian penganjur.
Maka, konsert adalah satu usaha besar melibatkan kos tinggi, risiko besar, serta perancangan yang teliti.
Walaupun terdapat cabaran, konsert tetap menjadi perniagaan menguntungkan jika semua aspek seperti pemilihan artis, promosi dan konsep persembahan dititikberatkan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram