
PANDEMIK Covid-19 kira-kira lima tahun lalu telah memberi kesan besar kepada dunia pekerjaan, dengan lebih ramai individu terpaksa berhadapan dengan kehilangan pekerjaan.
Menurut data rasmi, 140,608 orang telah kehilangan pekerjaan antara Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021, akibat banyak syarikat terpaksa menutup operasi atau mengecilkan saiz perniagaan mereka susulan pandemik itu.
Namun, ada juga yang melihat situasi itu sebagai peluang untuk mencipta sesuatu yang lebih besar termasuklah seorang bekas pekerja penyiaran, Muhammad Ali Isnan, yang kini menjadi pemilik perniagaan penstriman.
BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara
Ali bersama pengarah filem, Erma Fatima.
Muhammad Ali membuat keputusan berani untuk berhenti kerja pada 2019, sebelum syarikat tempatnya bekerja memulakan pemberhentian besar-besaran.
Sebagai pekerja yang telah berkhidmat selama sedekad di stesen penyiaran swasta, beliau menyedari bahawa masa depannya di syarikat tersebut semakin tidak menentu.
"Rakan-rakan sekerja saya sudah mula diberhentikan, dan saya mula bimbang jika saya akan terperangkap dalam situasi yang sama.
"Jadi, lebih baik saya berhenti sendiri sebelum diberhentikan," kata anak kelahiran Terengganu itu.
Keputusan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Walaupun beliau telah memperoleh ijazah sarjana, peluang untuk berkembang dalam kerjaya di syarikat tersebut berasa seakan terbatas.
"Saya bekerja selama sepuluh tahun tetapi tidak ada perubahan yang signifikan. Saya fikir, jika saya terus menunggu, saya akan tetap di tempat yang sama," tambahnya.
Walaupun tidak pasti apa yang akan datang, Muhammad Ali memilih untuk mengambil langkah berani itu.
Setelah berhenti kerja, Muhammad Ali tidak duduk diam. Beliau mulakan usaha mencari peluang baru sambil memberi fokus kepada hobinya iaitu menstrim filem-filem lama di Facebook.
"Pada mulanya, saya hanya suka-suka muat naik sedutan filem lama, tetapi selepas dua tahun, saya mula mendapat bayaran daripada platform itu," katanya.
Hasil dari hobi tersebut memberinya keyakinan untuk lebih serius dalam industri penstriman.
Itulah titik permulaan bagi Muhammad Ali untuk menubuhkan SIAR, sebuah platform penstriman tempatan yang menawarkan kandungan filem dan telefilem.
Ali bersama penghibur popular tanah air, Datuk Jamal Abdillah.
Meskipun SIAR bermula dari kecil, Muhammad Ali tidak menyangka bahawa usaha tersebut akan berkembang dengan pesat.
Sebagai syarikat baharu dalam industri yang sangat kompetitif, SIAR menghadapi banyak cabaran terutama dalam hal kewangan.
"Isu kewangan memang menjadi cabaran terbesar. Kami sebuah syarikat kecil, jadi mendapatkan dana yang mencukupi adalah sangat sukar," jelas Muhammad Ali.
Walau bagaimanapun, beliau tetap bertekad untuk memastikan gaji pekerja tetap dan sambilan dapat dibayar setiap bulan.
Meskipun pasukan SIAR hanya terdiri daripada enam pekerja tetap dan tiga kakitangan sambilan, Muhammad Ali tidak mengalah.
"Setakat ini, SIAR baru mencapai sekitar 20 peratus daripada sasaran kami. Kami masih ada banyak yang perlu dicapai, tetapi saya tidak akan berputus asa," katanya.
Kini, Muhammad Ali mempunyai matlamat yang lebih besar untuk SIAR.
Beliau ingin platform penstriman ini menjadi pusat sehenti untuk karya-karya seni tempatan seperti filem dan telefilem.
Namun, persaingan dalam industri ini sangat sengit terutamanya dengan platform besar yang mempunyai bajet lebih besar.
"Saya harap ada lebih banyak sokongan dari pihak kerajaan dan agensi berkaitan.
Dengan bantuan, kami yakin SIAR dapat berkembang lebih pesat dan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia untuk menikmati kandungan tempatan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram