
SEORANG wanita dan anak saudaranya maut manakala empat lagi ahli keluarga mereka terselamat dalam kejadian lemas di Pantai Bayu Impian, Bayu Damai, Kota Tinggi Johor, pada petang Selasa.
Dua mangsa maut dikenali sebagai Siti Fatimah Jaafar, 33, dan Nur Arisya Hanan Mohd Salleh, 13.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu semua mangsa dipercayai mempunyai pertalian keluarga.
Beberapa mangsa diselamatkan pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam. — Bomba Johor
"Seorang wanita berusia 33 tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dan tiga kanak-kanak perempuan berusia antara 10 hingga 13 turun ke kawasan pantai untuk mandi sebelum kesemuanya dihanyutkan air laut.
"Menyedari situasi tersebut, seorang lelaki berumur 60 tahun yang juga mempunyai pertalian persaudaraan cuba untuk membantu namun naik semula ke pantai disebabkan ombak kuat.
"Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat dengan bantuan orang awam yang berada di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa malam.
Jelas Yusof, dua daripadanya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
Ujarnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kota Tinggi.
"Polis Kota Tinggi menasihati orang ramai yang mengunjungi kawasan pantai supaya tidak melakukan sebarang aktiviti rekreasi air memandangkan keadaan laut bergelora serta ombak yang boleh menyebabkan kejadian lemas," ujarnya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Tinggi II Ezam Mistorerrudin berkata, seramai 15 anggota dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan pacuan empat roda Hilux dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram