[VIDEO] Pakaian dan kasut ditinggalkan tepi longkang, budak autisme hilang ditemukan lemas di Sungai Kedah


  • 112
  • Sabtu, 11 Jan 2025

Kanak-kanak autisme yang dilaporkan hilang di kawasan rumahnya di Alor Setar, Kedah pada Sabtu. — Facebook

SEORANG kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun dilaporkan berhampiran kawasan rumahnya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati berkata, mangsa, Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle ditemukan berhampiran tebing sungai itu pada jarak kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya.

Katanya, ibu mangsa menyedari kehilangan anaknya pada pukul 4.30 petang sebelum Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar memulakan operasi mengesan kehilangannya pada 6 petang Jumaat dengan membabitkan 30 anggota.

"Pencarian awal di kawasan taman perumahan dan darat serta pesisir Sungai Kedah," katanya sambil memaklumkan mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik.

BACA LAGI: [VIDEO] Trak pikap tersangkut arus deras, pemandu panjat bumbung kereta selamatkan diri di Kota Marudu

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara angin kencang, jurupandu parasailing terjunam, maut jatuh masuk laut di Phuket

Beliau berkata, operasi pencarian diteruskan pada 7.45 pagi Sabtu dan menemukan jasad mangsa kira-kira 30 minit kemudian.

"Anggota polis ternampak tangan mangsa dan berjaya membawanya naik ke tebing sungai.

"Mangsa ditemukan lemas dalam keadaan tidak berpakaian dan jasadnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

"Kanak-kanak itu dipercayai memakai lampin pakai buang tetapi membukanya dan berjalan menuju ke sungai sebelum terjatuh," katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Terdahulu, Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Ahmad Aminuddin Abd Rahim berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 7.30 malam, Jumaat.

Ahmad Aminuddin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak itu sedang giat dilakukan polis dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar.

"Berdasarkan maklumat ibu mangsa, pakaian serta kasut kanak-kanak itu ditemui di tepi longkang, kira-kira 200 meter dari rumahnya.

"SAR dilakukan sekitar kawasan berkenaan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, longkang berkenaan berkedalaman antara satu hingga 1.5 meter (m) serta salirannya bersambung hingga Sungai Kedah yang terletak di belakang muzium negeri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram