KERAJAAN mengumumkan pengecualian tol untuk kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian) sempena sambutan Hari Krismas 2024 pada 23 dan 24 Disember ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, langkah ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM38 juta yang akan dibayar kepada syarikat konsesi tol.
BACA LAGI: [VIDEO] Doktor Arab Saudi ditahan rempuh orang awam di pasar Krismas, 2 terkorban, 60 cedera
"Kos itu akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan, berjumlah RM38 juta. Pengecualian tol ini dijangka memberi peluang kepada semua rakyat Malaysia untuk menikmati perayaan itu terutama yang beragama Kristian," katanya.
Nanta berkata, pengecualian itu adalah dari 12.01 pagi Isnin (23 Disember) hingga 11.59 malam pada hari Selasa (24 Disember).
"Pengecualian tol terpakai di semua plaza tol kecuali di sempadan negara iaitu plaza tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan plaza tol Tanjung Kupang di Johor.
“Kami berharap semua pengguna jalan raya kenderaan persendirian mengambil kesempatan daripada pengecualian tol dan rancang perjalanan mereka lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas," tambahnya.
Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada keselamatan dengan mematuhi had laju, papan tanda dan peraturan semasa berada di jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram