Kisah Punniemurthy: Harungi kehilangan dan teruskan 2 dekad bisnes surat khabar di PJ


  • Bizz
  • Jumaat, 27 Dis 2024

SEJAK kira-kira sedekad lalu, industri jualan surat khabar di Malaysia, khususnya di kawasan bandar seperti Lembah Klang, sedang menghadapi pelbagai cabaran dalam era digital.

Walaupun surat khabar pernah menjadi sumber utama berita dan maklumat, peralihan kepada media digital telah menyebabkan perubahan ketara dalam landskap industri ini.

Permintaan terhadap bahan bacaan tersebut semakin merosot akibat peningkatan penggunaan platform digital seperti portal berita dan media sosial.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Ini kerana ramai pembaca lebih memilih kemudahan akses berita dalam talian lebih pantas dan percuma berbanding membeli surat khabar fizikal.

Trend tersebut secara langsung turut memberi kesan terhadap perniagaan mengedar dan menjual surat khabar di seluruh negara.

Malah kini, selain kedai runcit dan kemudahan seperti stesen minyak, jumlah pengedar serta penjual surat khabar yang sebelum ini biasa dilihat di kaki lima atau tepi jalan juga boleh dikatakan semakin sukar ditemui dan boleh dikira dengan jari.

Antara penjual yang masih bertahan sehingga kini ialah Punniemurthy Gurusamy, 64 yang berjualan surat khabar di tepi Jalan Tanjung Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor, sejak lebih 20 tahun lalu.

Seperti peniaga lain, Punniemurthy mengakui bahawa prestasi jualannya sememangnya menunjukkan kemerosotan ketara sejak kira-kira 10 tahun lalu.

"Kalau dulu sebelum tahun 2010, dekat sini saja sehari saya boleh dapat RM300. Lepas itu, kalau hujung minggu akan lagi banyak sebab orang biasa beli sampai tiga jenis surat khabar.

"Kemudian dulu pun banyak jenis surat khabar. Tapi sekarang ini, satu hari kadang-kadang dapat RM80. Kalau hujung minggu mungkin dapat dalam RM180.

"Tolak modal semua, saya punya gaji bolehlah dapat dalam lebih RM50. Itu kalau hujung minggu. Kalau hari biasa paling banyak pun RM30," katanya yang meniaga menggunakan lori.

Bagaimanapun, Punniemurthy Gurusamy yang tinggal bersama tiga orang anaknya di Mutiara Damansara, Petaling Jaya berkata, bagi menampung pendapatannya, dia menyediakan perkhidmatan servis pengangkutan dan melakukan kerja pembersihan dengan lori miliknya.

Dia akan mula membuka gerai jualan surat khabarnya seawal pukul 5 pagi sehingga pukul 12.30 tengah hari.

WhatsApp Image 2024-12-26 at 11.17.44

Punniemurthy di gerai jualan surat khabarnya di Jalan Tanjung Bandar Utama, Petaling Jaya.

"Jadi lepas habis waktu jual surat khabar, kadang-kadang akan ada orang panggil untuk bantu angkut barang guna lori.

"Selain itu, ada juga yang panggil untuk potong rumput. Jadi, saya buat sikit-sikit," ujarnya.

Idea isteri

Berkongsi kepada Majoriti, Punniemurthy berkata, idea untuk mula menjual surat khabar itu timbul daripada cadangan mendiang isterinya, P Rajamany P Perumal.

Sebelum itu, menurutnya, dia dan isteri terlebih dahulu menjalankan perniagaan menyelenggara landskap di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lori yang dibeli mereka pada sekitar penghujung 1990-an.

Dengan menggunakan kenderaan tersebut, pasangan terbabit turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan barang.

Bagaimanapun, sekitar 2003, isterinya mencadangkan untuk mereka mula menjual surat khabar secara sambilan dengan menyediakan perkhidmatan menghantar dari rumah ke rumah pada waktu pagi.

"Waktu itu, isteri saya akan mula keluar memandu lori pukul 3.30 pagi untuk susun dan hantar surat khabar di tempat tertentu.

"Kemudian saya pula akan datang dengan motosikal untuk hantar dari rumah ke rumah. Masa itu sehari kami boleh cover dalam 250 rumah.

"Kemudian petang kami buat kerja menyelenggara," ujarnya.

Punniemurthy berkata, selepas kira-kira lima tahun melakukan secara sambilan, perniagaan mengedar surat khabar itu mula memberikan pendapatan yang stabil.

Disebabkan itu, mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk membuka satu gerai tetap menjual surat khabar di lokasinya berjualan sekarang.

WhatsApp Image 2024-12-26 at 11.17.44 (1)

Isteri Punniemurthy merupakan insan yang memberikan idea untuk memulakan perniagaan menjual surat khabar.

Nahas ragut nyawa isteri ketika keluar menghantar surat khabar

Punniemurthy bagaimanapun berdepan satu detik hitam dalam hidupnya apabila isterinya mengalami kemalangan motosikal bersama kereta ketika dalam perjalanan menghantar surat khabar pada 29 Januari 2012 di sebuah persimpangan di Kota Damansara.

Akibat insiden tersebut, isterinya yang parah dalam insiden tersebut terus dirawat selama empat bulan sebelum meninggal dunia pada April tahun tersebut.

"Selama 86 hari saya pergi balik hospital untuk tengok isteri saya lepas kemalangan tersebut.

"Kadang-kadang doktor panggil untuk minta kebenaran buat pembedahan. Tapi lepas itu sampai April, dia meninggal," ujarnya.

Punniemurthy mengakui bahawa pemergian isterinya itu sememangnya memberikan kesan mendalam terhadap dirinya.

Namun, untuk meneruskan kehidupan, dia tetap terus menjalankan perniagaan surat khabar itu seorang diri bagi membesarkan anak-anaknya yang masih bersekolah ketika itu.

Ditanya sampai bila dia akan terus menjalankan perniagaan menjual surat khabar, Punniemurthy berkata, dia akan melakukannya selagi terdaya.

"Walapun dah semakin kurang orang beli surat khabar, tapi saya ingat tak apalah sebab saya pun dah lama buat benda ini.

"Ada banyak pelanggan dan kenalan yang masih selalu lalu dan membeli daripada saya.

"Lagipun jual surat khabar ini pun banyak tolong saya waktu jumlah jualannya baik dulu.

"Asalkan dapat jualan dan boleh balik modal, saya akan terus buat," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram