[VIDEO] Bola kena tepat dada, remaja lelaki tak pasal-pasal hilang nyawa ketika liga belia di Brazil


  • Benua
  • Jumaat, 10 Jan 2025

Edson Gama (Gambar kecil) maut dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital. — Agensi

SEORANG remaja lelaki maut selepas terkena bola sepak di dada ketika perlawanan liga belia di Maues dekat Amazonas, Brazil pada Ahad lalu.

Mangsa, Edson Gama maut ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di hospital.

Memetik laporan berita antarabangsa, remaja berusia 16 tahun itu beraksi sebagai penjaga gawang pada waktu kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Lebih seminggu bertarung nyawa, rider Brazil meninggal dunia langgar tiang elektrik ketika 'selfie'

BACA LAGI: [VIDEO] Hero tak kena tempat, rider kena kejar polis Hong Kong maut elak pegawai kastam buat ‘sekatan’ tengah jalan

Insiden tragis itu turut dirakam dan menjadi tular di laman media sosial sekali gus menjadi bualan dalam kalangan media maya.

Melalui rakaman video berdurasi seminit lebih itu memaparkan Gama berdiri di hadapan gawang ketika pasukan lawan bersiap mengambil sepakan penalti.

Pada sepakan pertama, bola memasuki gawang tanpa mengenai Gama, tetapi sepakan kedua terkena tepat di tengah dadanya.

Gama dilihat terjatuh terlentang selepas terkena bola, sebelum rakaman tersebut tamat dan turut kelihatan orang awam di padang segera memberikan bantuan kecemasan.

Sementara itu, kakak mangsa, Elisia Lopes, mendedahkan bahawa ibu bapa mereka menghadapi cabaran membawa Gama ke hospital di Maues kerana sungai di kawasan tersebut sedang kering.

Gama hanya tiba di hospital pada keesokan harinya, namun malangnya disahkan meninggal dunia.

Menurut Lopes, Gama tidak mempunyai sejarah masalah jantung, tetapi pernah mengadu sakit dada sebelum meninggalkan rumah.

"Kami masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Doktor yang merawat Gama percaya kematian itu mungkin disebabkan oleh Commotio Cordis, satu keadaan jarang berlaku apabila trauma tumpul di dada mengganggu irama normal jantung, menyebabkan serangan jantung.

"Ia berlaku apabila trauma di kawasan dada, tepat di atas jantung, mencetuskan serangan jantung. Keadaan ini berlaku kira-kira satu kes bagi setiap 100,000 atlet di seluruh dunia," kata Dr. Cotta Junior kepada akhbar Folha Vitoria.

Doktor juga tidak menolak kemungkinan trauma semasa perlawanan telah memburukkan lagi keadaan perubatan yang mungkin sudah dialami Gama.

Gama dikenali sebagai seorang pencinta bola sepak yang sentiasa aktif menyertai kejohanan di kawasan tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram