Pemergian 'Ngor Ngor' buat ramai pencinta haiwan menangis


  • Massa
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Ramai pengguna mengucapkan ucapan takziah dan menyatakan kesedihan mereka atas pemergian Ngor Ngor.

SEEKOR anjing peliharaan yang terkenal dengan ekspresi pemarah di daerah Ranau, Sabah sebelum ini menjadi sumber kegembiraan dan persahabatan ramai orang di dunia maya.

Bagaimanapun, anjing jantan bernama Ngor Ngor yang mempunyai akaun Tiktok sendiri dengan lebih 30,000 pengikut itu dilaporkan mati pada Jumaat sekali gus mengundang kesedihan yang mendalam dalam kalangan pengguna internet.

Pemiliknya yang dikenali sebagai Ira di Facebook mengumumkan pemergian haiwan peliharaannya itu pada 15 Januari, dengan mesej sedih mengucapkan selamat tinggal kepada Ngor Ngor dan berterima kasih kepadanya atas kegembiraan yang diberikan selama ini.

BACA LAGI: Persis filem, rumah mewah pesara mogul pengurusan sampah 'still standing' tak dijilat api kebakaran LA

BACA LAGI: ‘Ya ALLAH’, penduduk mengucap panjang lihat rider tak endahkan amaran maut dirempuh kereta api di Karawang

“Terima kasih Ngor Ngor kerana menjadi penghibur kami selama ini. Ngor Ngor sudah tiada,” katanya.

Ira turut mengucapkan terima kasih kepada pengguna internet atas kasih sayang mereka terhadap anjing itu.

"Ngor Ngor akan dikenang selama-lamanya," tulisnya dengan berkongsi dua gambar iaitu gambar Ngor Ngor dalam keadaan sudah tidak bernyawa dan satu lagi gambar tapak pengebumian kecil untuk haiwan itu.

Punca kematian anjing itu masih tidak jelas, namun ada yang mengesyaki Ngor Ngor diracun dan meminta pihak berkuasa menjalankan bedah siasat ke atasnya.

Ira juga berkongsi kemas kini yang mengatakan bahawa dia mengesyaki Ngor Ngor telah diracuni tetapi tiada pengesahan mengenai perkara terbabit.

Ramai pengguna mengucapkan ucapan takziah dan menyatakan kesedihan mereka selain mengakui bahawa mereka merindui gelagat lucu Ngor Ngor di media sosial.

Ngor Ngor mula terkenal dalam talian tahun lalu apabila pemiliknya memuat naik video dirinya meminta anjing itu untuk membuat bunyi 'ngor ngor', dan anjing itu dengan patuhnya berbuat demikian.

Pemiliknya pernah menceritakan bagaimana anjing itu, salah satu daripada tiga anak anjing yang diselamatkannya, pernah digilis kenderaan ketika masih kecil.

Kejadian itu mengakibatkan beberapa masalah tulang dan kecederaan lain dan keluarganya tidak menyangka ia akan bertahan hidup.

Namun, hanya anak anjing yang kuat itu selamat, manakala dua adik-beradiknya yang turut digilis kereta tidak berjaya meneruskan hidup.

Kecederaan itu turut dipercayai menjejaskan pertumbuhannya dan Ngor Ngor membesar menjadi gemuk.

Anjing itu takut dengan sentuhan manusia, dikenali sebagai pemarah, suka makan dan sering mengejar kanak-kanak yang mendekatinya serta mengusiknya, tetapi akan berhenti berlari selepas beberapa langkah.

Ngor Ngor tidak boleh disentuh atau dibelai selepas kemalangan (mungkin akibat trauma atau kesakitan pada masa itu), dan hanya baru-baru ini ahli keluarga berjaya menyentuh dan membelainya.

Pengguna media sosial pernah mencadangkan keluarga membawa Ngor Ngor bertemu dengan doktor haiwan untuk pemeriksaan kesihatan dan sekurang-kurangnya memandikan anjing itu tetapi mereka menjelaskan bahawa ia sukar diakukan kerana mereka tidak boleh menyentuhnya, apatah lagi mengangkatnya.

Namun, Ngor Ngor tetap menjadi anjing yang manja dan suka akan perhatian yang diberikan orang sekelilingnya.

Pemiliknya bahkan membina sebuah kandang yang selesa untuknya, tetapi Ngor Ngor lebih suka tidur di atas tanah. — The Star/STEPHANIE LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram