Usaha kesan penjual pil diteruskan, polis rekod keterangan salah seorang mangsa terselamat disyaki telan ekstasi


  • Bizz
  • Khamis, 09 Jan 2025

Tangkap layar video memaparkan insiden yang berlaku di konsert Pinkfish ketika malam ambang tahun baharu.

POLIS sudah merekodkan kenyataan seorang daripada dua mangsa terselamat didakwa mengambil ekstasi pada konsert Pinkfish ketika sambutan malam tahun baharu lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, individu terbabit dibenarkan keluar dari hospital.

“Ini menjadikan jumlah mereka yang direkodkan keterangannya kepada 50 orang,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

BACA LAGI: Dua pengunjung Pinkfish disyaki ambil ekstasi stabil, masih terima rawatan di PPUM — Polis

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki maut ditembak ketika makan di Johor Bahru, polis siasat motif kejadian

Wan Azlan berkata, pada waktu ini hanya seorang mangsa yang tinggal dan dirawat di hospital.

“Kami akan merekodkan kenyataan individu itu sebaik mendapat kebenaran daripada doktor,” katanya.

Tambahnya, polis masih menunggu laporan toksikologi mangsa.

“Kami juga sedang berusaha mengenal pasti pihak bertanggungjawab menjual pil ekstasi pada konsert itu.

"Kami sedang bekerja keras dalam siasatan," katanya.

Polis dilapor merekodkan kenyataan penganjur konsert malam ambang tahun baharu, Pinkfish pada Isnin berhubung kematian dan kecederaan dialami oleh penonton konsert.

Kenyataan daripada penganjur itu dirakamkan di ibu pejabat polis daerah Subang Jaya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyatakan bahawa empat mangsa bersama tiga yang lain pengsan selepas menggunakan dadah pada konsert itu. — Gambar hiasan

Empat individu warga tempatan maut selepas menghadiri konsert Pinkfish di Bandar Sunway, Subang Jaya, pada malam tahun baru.

Keempat-empat mereka dipercayai mengambil ekstasi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menyatakan bahawa empat mangsa bersama tiga yang lain pengsan selepas menggunakan dadah pada konsert itu.

Salah seorang mangsa terselamat telah pun dibenarkan keluar dari hospital.

Beliau mendedahkan siasatan menunjukkan kesemua mangsa mengambil pil ekstasi pada majlis itu.

Hussein memaklumkan beberapa mangsa mungkin telah membeli dadah sebelum menghadiri konsert itu, manakala yang lain mungkin membelinya di venue.

Terdapat juga syak wasangka individu menjual dadah tersebut di konsert itu.

Hussein berkata, penganjur konsert didapati gagal memastikan keselamatan penonton konsert.

“Kami juga sedang melihat sama ada konsert Pinkfish itu melebihi kapasiti.

"Kami mendapati 14,000 tiket telah dijual. Jika termasuk pasukan keselamatan dan pertolongan cemas di tempat kejadian, kami percaya lebih 14,000 orang berada di sana pada malam itu," katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram