SEORANG lelaki cedera selepas tersepit dalam kenderaannya setelah terbabit dalam satu kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan di Jalan Kuantan-Kemaman sekitar Cherating, Kuantan, Pahang pada Selasa.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, menurut laporan terkini, tujuh kenderaan itu ialah sebuah treler, lori, kenderaan pacuan empat roda dan empat kereta dalam kejadian pada pukul 10 pagi.
Jelasnya, seramai 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi kemalangan untuk operasi menyelamat.
BACA LAGI: Muka bayi kemerahan disyaki dimandikan dengan air suam, polis siasat pengasuh di Kuantan
BACA LAGI: Remaja perempuan kena culik di Singapura ditemukan selamat di Kuantan
"Ketika tiba di lokasi kejadian yang jaraknya kira-kira 27 kilometer dari balai, mereka mendapati tujuh kenderaan terbabit kemalangan dipercayai berlanggar secara sebaris dari arah belakang.
"Kemalangan itu menyebabkan seorang cedera tersepit di dalam sebuah kereta Perodua Myvi, manakala 13 mangsa dalam kenderaan lain selamat dan tidak mengalami kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.
Zulfadli berkata, anggota bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.
"Mangsa diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram