KEJADIAN tayar lori tercabut yang sering kali mencetuskan kemalangan jalan raya semakin menjadi kebimbangan utama dalam kalangan pengguna lebuh raya.
Manakan tidak, kebanyakan kemalangan yang berlaku melibatkan tayar lori tercabut sering kali menyebabkan kecederaan parah pada mangsa dan ada yang meragut nyawa.
Insiden terbaru di Simpang Tiga Sungai Daun dekat Kota Sarang Semut, Kedah menyaksikan seorang lelaki dipercayai cedera parah apabila tayar sebuah lori tercabut lalu menghempap kakinya pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan
Insiden kemalangan itu turut dikongsikan di laman media sosial dan aplikasi Telegram pada Isnin.
"Lori tayar tercabut di lokasi Simpang Sungai Daun, keadaan pemandu agak teruk, " tulisnya.
Seorang lelaki cedera selepas sebuah tayar lori tercabut lalu melantun ke arah keretanya pada Isnin. pic.twitter.com/kzlBgPR1IO
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) January 20, 2025
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Yan, Asisten Superintendan Musa Rabien mengesahkan kejadian tersebut.
Memetik laporan Kosmo!, mangsa berusia 45 mengalami kecederaan pada kaki akibat terkena tayar lori yang tercabut dalam kejadian itu.
"Mangsa dihantar ke Hospital Yan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani, Kedah untuk rawatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada pukul 1 tengah hari tadi ketika mangsa berdiri di belakang kereta Proton Iswara miliknya yang diletakkan di bahu jalan," katanya pada Isnin.
Tambah beliau lagi, insiden itu berlaku apabila sebuah lori jenis Hino yang membawa muatan sekam padi dari arah Batas Paip ke Yan melalui kawasan itu sebelum satu tayar belakang sebelah kiri lori itu tercabut dan bergolek ke arah mangsa.
"Mangsa tidak sempat mengelak kerana jarak yang dekat lalu terkena pada bahagian kakinya.
"Pemandu lori berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan untuk dirakam keterangan bersama lorinya untuk pemeriksaan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram