POLIS Johor berjaya menyelamatkan seorang remaja perempuan warganegara China yang diculik di Singapura sebelum ditemukan kira-kira sejauh 326 kilometer di Kuantan, Pahang.
Difahamkan mangsa ditemukan dalam tempoh 24 jam selepas dilaporkan hilang.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, seorang lelaki warganegara China berumur 48 tahun membuat laporan polis pada Selasa mendakwa anak perempuannya yang berumur 15 tahun tidak hadir ke sekolah dan dipercayai diculik oleh individu yang tidak dikenali.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis giat buru 4 suspek samun bersenjata di premis beli hasil sawit di Bukit Selambau
Menurut pihak polis, suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Disember.
"Remaja itu tidak muncul di sekolahnya di Singapura pada Isnin sebelum dilaporkan hilang.
"Pemeriksaan mendapati mangsa dibawa masuk ke Malaysia melalui pos pemeriksaan Woodlands pada Ahad.
"Hasil pengumpulan maklumat, polis melakukan serbuan dan berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah kawasan di Kuantan, Pahang pada Selasa," katanyaa dalam satu kenyataan pada Rabu.
Polis turut menahan seorang lelaki warganegara China berumur 22 tahun di lokasi yang sama.
M Kumar menambah, polis juga merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, pakaian dan peralatan lain yang digunakan dalam kes tersebut bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, mangsa akan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan perubatan manakala suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Disember.
Katanya lagi, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan Seksyen 361 Kanun Keseksaan (Akta 574).
"Kami masih menyiasat motif di sebalik kes ini dan tangkapan dibuat hasil daripada pengumpulan maklumat perisikan dan kerjasama orang ramai," tambahnya.
Beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau komen yang boleh mengganggu proses siasatan polis.
Tambahnya, polis mengalu-alukan kerjasama berterusan dari orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat jenayah dengan menghubungi talian hotline polis Johor di 07-2212999. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram