EMPAT sekeluarga cedera dengan seorang daripadanya tersepit selepas kereta dinaiki melanggar tayar kiri lori membawa tangki muatan minyak 45 tan, tercabut di Kilometer (KM) 199 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke selatan dekat Sitiawan, Perak pada Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tersebut yang turut membabitkan dua lagi kenderaan lain itu pada pukul 8.40 malam.
Katanya, mangsa empat sekeluarga itu menaiki kereta jenis Toyota Yaris terdiri daripada wanita berusia 36 tahun yang tersepit, lelaki berumur 35 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga serta empat tahun.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketua operasi melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (System Approach To Victim Entrapment Rescue) dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
"Seorang mangsa tersepit dibawa oleh EMRS (Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan), manakala tiga mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tiga lelaki yang masing-masing menaiki kereta jenis Honda Civic, Mercedes dan lori tangki jenis Volvo secara berasingan, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, operasi menyelamat tamat pada pukul 10.36 malam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram