[VIDEO] Gatal tangan tabur objek tajam atas jalan, budak 12 tahun, ibu bapa dipanggil polis Semporna


  • 112
  • Selasa, 21 Jan 2025

Tangkap layar video tular memaparkan beberapa pengguna jalan raya yang menemui objek tajam diletakkan di atas jalan raya di Kilometer 20, Jalan Semporna-Tawau, Sabah pada Ahad.

TINDAKAN seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang secara 'suka-suka' meletakkan objek tajam termasuk paku, batu dan kayu di atas jalan raya di Kilometer 20, Jalan Semporna-Tawau, Sabah membawa padah selepas dia dipanggil polis bersama ibu bapanya.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, tindakan itu diambil susulan laporan dibuat seorang individu berkaitan penemuan objek berbahaya itu kira-kira pukul 7.30 pagi Ahad.

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri kematian wanita ada kesan luka terjawab lepas suami jalani ritual Dayak Kalimantan

BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati objek tajam itu dibuang kanak-kanak berusia 12 tahun yang tinggal berdekatan lokasi kejadian dengan tujuan sekadar untuk suka-suka.

“Ibu bapa bersama kanak-kanak terbabit kita panggil hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna dan berikan nasihat supaya mengawasi anak mereka serta tidak mengulangi perbuatan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, tular video memaparkan beberapa pengguna jalan raya menemukan objek tajam antaranya paku, batu dan kayu di atas jalan raya.

Mohd Sabri berkata, kejadian itu disedari seorang pengguna jalan raya yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Tawau selepas melihat beberapa objek tajam seperti batu, kayu dan paku di atas jalan raya dipercayai diletakkan secara sengaja oleh individu tidak bertanggungjawab.

Katanya, pengadu bersama beberapa individu termasuk pemandu bas pelancong yang melalui kawasan itu kemudian bertindak membuang objek berkenaan bagi mengelak kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

Mohd Sabri berkata, tiada sebarang kemalangan berlaku dan pihak polis melahirkan penghargaan kepada pengguna jalan raya yang peka serta prihatin dengan mengambil tindakan pantas sekali gus mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram