PENGASUH wanita di Kuantan disiasat pihak polis selepas didakwa menjadi punca muka bayi berusia 10 bulan mengalami kemerahan pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan itu dilakukan selepas ibu bayi yang berusia 26 tahun membuat laporan polis pada Selasa lepas.
Menurut laporan, Wan berkata, ibu bayi berkenaan pada awalnya menghantar anaknya ke rumah pengasuh dalam keadaan sihat sekitar pukul 7 pagi pada Isnin lepas.
BACA LAGI: [VIDEO] Padah leka sesaat, pekerja kilang maut kepala tersepit mesin pemampat di Turkiye
"Pada pukul 1.52 tengah hari, ibu mangsa dimaklumkan oleh pengasuh bahawa keadaan muka anaknya mengalami kemerahan ketika bangun daripada tidur.
"Ibu bayi berkenaan kemudiannya mengambil anaknya dari rumah pengasuhnya itu dan terus membawanya ke sebuah klinik sebelum ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan lanjut.
"Pemeriksaan lanjut oleh doktor pakar kulit pada Rabu lepas mengesahkan keadaan kemerahan pada muka bayi berpunca daripada kesan panas yang berkemungkinan terkena muka mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Wan berkata, siasatan awal terhadap pengasuh mengesahkan bahawa suspek memandikan bayi itu dengan air suam pada waktu pagi sebelum tindak balas kemerahan pada muka berlaku sejurus dimandikan.
Susulan kes itu, Wan berkata, pengasuh berusia 32 tahun berkenaan ditahan di rumahnya sekitar pukul 5.50 petang 16 Januari lepas, untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Tambahnya lagi, kes diklasifikasi mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram