[VIDEO] 'Masih ada orang baik', satu Malaysia berterima kasih 2 sahabat teman remaja perempuan berkaki ayam jalan di 'highway' sampai polis datang


  • Tular
  • Ahad, 19 Jan 2025

Tangkap layar menyaksikan remaja dipercayai belasan tahun itu berjalan dengan langkah longlai di tengah jalan dalam keadaan yang amat tertekan dan seolah-olah hilang arah.

SEORANG remaja perempuan menjadi tular di media sosial selepas video yang menunjukkan dia berjalan sendirian di jalan raya tanpa memakai selipar sambil menangis menarik perhatian ramai.

Kejadian tersebut dipercayai berlaku pada malam Sabtu di sebuah jalan raya berhampiran Shah Alam, Selangor yang menghala ke Klang.

Dalam rakaman tular di Facebook itu, kelihatan remaja dipercayai belasan tahun itu berjalan dengan langkah longlai di tengah jalan dalam keadaan yang amat tertekan dan kelihatan hilang arah.

BACA LAGI: Sempat lari 20 minit, polis tahan 2 lelaki positif dadah

BACA LAGI: Tindakan rakam kemalangan makan diri, warga emas maut dilanggar MPV di Johor Bahru

Apa yang lebih mengejutkan adalah remaja perempuan tersebut berkaki ayam sahaja tanpa mengenakan kasut atau selipar, malah hanya memakai pakaian biasa.

Kehilangan arah dan emosi yang jelas terkesan padanya menyebabkan orang awam yang melalui kawasan tersebut berasa risau dan bergegas untuk membantu.

Dua orang lelaki yang kebetulan berada di tempat kejadian segera menghampiri remaja itu dengan menyaksikan salah seorang daripada lelaki tersebut dilihat berhenti dan turun dari kenderaannya untuk menemani remaja itu berjalan di lorong motosikal sambil cuba menenangkannya.

Menurut salah seorang lelaki yang merakam kejadian itu, dia terkejut apabila melihat remaja perempuan berkenaan berjalan seorang diri pada waktu malam.

Bimbang akan keselamatan remaja itu dan mahu memastikan dia selamat, lelaki tersebut juga telah menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan segera agar remaja tersebut dapat dibawa ke balai polis bagi tujuan siasatan dan pemantauan.

Kejadian tersebut menarik perhatian ramai yang prihatin terhadap keselamatan individu lain.

"Terbaik bro, ambil berat dan perhatian keadaan dan terbaik cara bro dan kawan bro follow dia sampai kakak dua orang itu pun bantu sama, anda semua terbaik, hanya ALLAH yang boleh balas jasa anda semua," kata M Ridzuan Yap Ginting.

"Alhamdulillah syukur, kesian nasib terjumpa dengan orang baik-baik," kata Abdul Shukor Muhamad.

"Terima kasih orang yang baik hati, semoga ramai yang mencontohi bukan ambil keselamatan," kata Pusara Senja.

Dalam perkembangan lain, menurut kenyataan daripada Polis Shah Alam, perempuan yang berumur 23 tahun itu mengalami masalah kemurungan dan keluar rumah tanpa pengetahuan keluarganya.

“Untuk makluman perempuan tersebut berumur 23 tahun. Pada 19/01/2025 jam lebih kurang 7.00 pagi, satu laporan polis telah dibuat oleh ahli keluarga perempuan tersebut.

“Dipercayai perempuan tersebut mengalami masalah kemurungan dan keluar rumah tanpa pengetahuan keluarganya. Perempuan tersebut telah selamat diserahkan kepada keluarganya semula,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram