MENGUNJUNGI restoran mewah bukan sekadar tentang menikmati hidangan lazat, tetapi juga menghargai keindahan seni penataan makanan (food plating).
Prinsip persembahan dan penataan terbaik meliputi komponen pemilihan bahan, penyediaan, aturan makanan, hiasan sehingga perkakas atau peralatan digunakan bagi menyediakan satu hidangan.
Di restoran bertaraf lima bintang, seni penataan makanan menjadi elemen utama.
BACA LAGI: [VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor
Restoran ternama di seluruh dunia menggunakan kreativiti untuk menyajikan hidangan yang memukau.
Bukan sahaja di restoran, bahkan pengusaha makanan yang menjalankan operasi dari rumah mula menitikberatkan aspek penataan sajian bagi memikat selera dan pandangan mata pelanggan.
Gabungan bahan digunakan dengan warna berani, bentuk luar biasa dan bahan-bahan menyeronokkan turut mengangkat kelestarian alam dalam setiap suapan.
Menurut sejarah kulinari, konsep penataan makanan sudah mula diterapkan sejak era 1600-an di Perancis, apabila Raja Louis XIV mengarahkan cef peribadinya menyediakan hidangan secara elegan.
Sejak itu, aliran penataan makanan mula tercipta untuk memberi tarikan visual, selain mampu memberi kepuasan selera.
Berkongsi pandangan, Timbalan Presiden Persatuan Gastronomi Malaysia, Chef Mohamad Fadzly Che Omar berkata, seiring peredaran masa penataan makanan berkembang menjadi satu seni apabila pinggan diubah menjadi kanvas.
Menerusi sentuhan cef sedunia, katanya, pelbagai teknik diterapkan untuk mencipta hasil penataan kulinari yang menakjubkan.
"Bermula daripada pemilihan menu, potongan bahan, susunan dan pemilihan pinggan mangkuk, ia perlu selari dengan tema.
"Setiap gaya dipadankan akan bangkitkan tarikan visual bagi menyerlahkan sajian," kata Fadzly.
Beliau menjelaskan, penataan makanan perlu dikendalikan dengan teliti antaranya komposisi hidangan untuk memberikan hasil persembahan baik.
Penataan makanan perlu dikendalikan dengan teliti dan kemas.
Bahan mentah
Fadzly berkata, komposisi penataan makanan dianggarkan 850 gram (g) bagi setiap sajian atau dikenali sebagai satu perut.
Bagi menu Barat, jumlah komposisi itu diwakili dengan pembuka selera sebanyak 120g, sup 250 mililiter (ml), hidangan utama terdiri daripada protein seperti daging antara 180g hingga 200g.
Diikuti dengan jumlah kandungan kanji hampir 100g, sayur-sayuran 60g dan sos 40ml serta pencuci mulut 120g.
Bahan mentah utama juga perlu merangkumi 90 peratus daripada hidangan utama.
"Tujuan komposisi ini bagi mengelakkan hidangan kelihatan tidak seimbang pada visual.
"Komposisi ini juga diterapkan untuk menu pemula, pemanis mulut dan hidangan utama," katanya.
Menurut Chef Mohamad Fadzly, bermula pemilihan menu, potongan bahan, susunan dan pinggan mangkuk perlu selari dengan tema bagi bangkitkan tarikan visual sajian.
Jelasnya, elemen dan teknik penataan makanan lain adalah kaedah diterapkan untuk menu dipersembahkan kepada pelanggan.
Beliau berkata, terdapat tiga kaedah penataan iaitu klasik, bebas dan landskap masing-masing menawarkan cara unik untuk menyajikan hidangan.
Selain itu, teknik hiasan perlu berkonsepkan sesuatu yang boleh dimakan dan berfungsi sebagai penambah baik hidangan, menambah warna atau tekstur menu.
Fadzly berkata, elemen seperti penggunaan bahan dapat memberi kerangupan yang menambah nilai pada menu yang dipersembahkan.
“Setiap pemilihan bahan disediakan memainkan peranan untuk menambah selera dalam setiap suapan.
“Selain itu, pemilihan bahan hidangan dengan warna dan tekstur yang berbeza juga penting untuk menjadikan persembahan menarik secara visual,” katanya.
Fadzly berkata, selain restoran Barat, penataan hidangan mula menjalar dalam masakan masyarakat Cina dan Melayu.
Bezanya, pemilihan bahan masakan Cina lebih menumpukan pada dekorasi bahan-bahan dan potongan.
"Hidangan tempatan juga menggunakan konsep penataan hidangan, namun lebih pada pemilihan rempah ratus dan dihidangkan lauk-pauk," jelasnya.
Tip penataan hidangan
Kekalkan kesederhanaan.
Elak menyesakkan pinggan dengan unsur-unsur yang tidak perlu.
Biarkan kualiti makanan menyerlah.
Gabungan kreativiti.
Keseimbangan bahan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram