LIMA belas tahun lalu, Rachel Yeng dan Henry Chandra memulakan projek membuat perabot pasang sendiri atau do-it-yourself (DIY) di rumah bagi mengubah suai sofa mereka dalam keadaan kurang baik selepas sekian lama digunakan.
“Kami mempunyai sofa Ikea kegemaran. Bagaimanapun, lama-kelamaan ia kelihatan kurang menarik, tetapi kami enggan menggantikannya,” kata Rachel kepada StarBiz 7.
Justeru, ketika mencari alternatif untuk menyelesaikan isu sofa berkenaan, mereka tidak menyangka pilihan sedia ada adalah terhad.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Ia termasuk menyifatkan tawaran yang ada juga tidak memuaskan.
"Semuanya tidak menarik, tidak sesuai atau harganya lebih mahal daripada sofa itu sendiri.
"Tiada siapa menawarkan apa yang kami perlu seperti sarung sofa konsep moden, praktikal dan harga berpatutan,” katanya.
Sehubungan itu, mengambil kira pengalaman dialami, suami isteri berkenaan mereka bentuk dan membuat sarung sendiri berpandukan YouTube.
Rachel (kiri) dan Henry mengusahakan bisnes menawarkan sarung sofa konsep moden, praktikal dan dijual pada harga berpatutan.
"Hasilnya luar biasa. Sepertinya kami mempunyai sofa baharu!” katanya teruja.
Pengalaman itu akhirnya membawa kepada bermulanya perniagaan dikenali sebagai Comfort Works.
Fokus memberikan nafas baharu kepada sofa lama, syarikat itu mengkhususkan rekaan sarung ideal dengan pelbagai jenama dan model sofa.
Pelanggan boleh menyesuaikan rekaan sarung pilihan bermula daripada fabrik, warna dan gaya termasuk pilihan fungsi seperti hipoalergenik dan mesra haiwan peliharaan.
Setiap aspek dilakukan mengikut tempahan, dihasilkan dengan tangan dan dihantar dalam masa dua minggu.
“Ia pantas, peribadi dan membolehkan kami menumpukan pada penyelesaian yang sesuai dan berkualiti tinggi disukai ramai,” tambahnya.
Hari ini, Comfort Works berpangkalan di Malaysia membuat penghantaran ke lebih 40 buah negara dan mempunyai pasukan seramai 200 orang.
Bagaimanapun, Rachel dengan pantas menyatakan bahawa perjalanan membangunkan perniagaan tersebut tidak berlaku tanpa sebarang cabaran.
"Ia memerlukan tempoh pembelajaran yang panjang," katanya.
Peringkat awal, perniagaan tersebut hanya terdiri daripada dua pengasas yang bekerja di apartmen, mengendalikan segala-galanya dari segi reka bentuk kepada perkhidmatan pelanggan dan pengurusan laman web.
“Kami tidak mempunyai pembiayaan luar atau jaringan keselamatan yang besar.
"Apa yang kami ada ialah visi, keazaman tinggi dan mungkin kenaifan untuk meneruskannya,” katanya.
Apabila pelanggan mula membuat permintaan jenis sarung sofa, selain model Ikea yang telah mereka sediakan, pasukannya akan menggunakan itu sebagai petunjuk untuk mengembangkan pilihan ditawarkan.
Rangkaian sarung sofanya berkembang termasuk meliputi jenama barangan rumah global seperti Muji, Pottery Barn, West Elm dan Restoration Hardware.
Mereka juga berusaha menambah lebih banyak pilihan fabrik dan penyesuaian pada pilihan tawaran sambil turut menghantar ke lebih banyak negara.
Bagi pelanggan yang ingin menyuntik kembali keceriaan ruang kediaman tanpa perlu berpisah dengan sofa kesayangan atau membeli baharu, maka perniagaan tersebut menawarkan penyelesaian ideal.
Antara hasil kerja Comfort Works. — Comfort Works
“Matlamat kami adalah untuk menyelamatkan seberapa banyak sofa daripada berakhir di tapak pelupusan sambil membantu orang ramai mencipta suasana rumah yang mereka suka.
"Ia adalah mengenai aspek kemapanan, gaya dan menjadikan rumah benar-benar milik anda,” ujarnya.
Pada masa sama, berkongsi pemilihan sarung sofa, pelanggan Comfort Works mengutamakan praktikaliti dan reka bentuk visual melebihi aspek lain.
“Ramai pelanggan adalah mereka sudah berkeluarga, pemilik haiwan peliharaan atau peminat reka bentuk yang mahukan penyelesaian bukan sahaja berkesan, bahkan tampak menarik.
“Mereka mahukan kesesuaian yang sempurna – sesuatu kelihatan ia dibuat untuk sofa mereka bukannya seperti barang buangan.
"Ketahanan juga menjadi keutamaan. Mereka mahukan sarung sofa mesra kanak-kanak, haiwan peliharaan, berdaya tahan terhadap tumpahan dan segala risiko," ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, nilai estetika juga merupakan faktor penting bagi pelanggan kerana ramai mengatur ruang kediaman mencerminkan keperibadian masing-masing.
Disebabkan itu, menurut Rachel, proses mendengar maklum balas pelanggan adalah penting untuk membangunkan produk baharu.
“Pelanggan kami sentiasa memberitahu perkara diperlukan, sama ada fabrik yang lebih mudah dibersihkan, sarung tahan daripada haiwan peliharaan atau reka bentuk moden.
"Kami memikirkan bagaimana pelanggan terus menggunakan sofa yang sudah menjadi sebahagian daripada fungsi utama kehidupan mereka.
“Bagaimanapun, reka bentuk turut diberi perhatian penting. Kami menyasarkan keseimbangan antara gaya sejati, klasik dan trend moden,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan semakin ramai pengguna menyatakan minat terhadap pilihan mesra alam dan aspek kelestarian sehingga kini merupakan fokus utama perniagaan.
Malah, 2025 akan menyaksikan syarikat itu bakal mengembangkan koleksi fabrik mesra alam dan meneroka cara untuk menjadikan proses pengeluarannya lebih mapan
“Ia mengenai mencipta produk disukai orang ramai, bukan hanya kerana ia kelihatan hebat, tetapi dibuat secara bertanggungjawab," katanya.
Selain itu, syarikatnya juga merancang untuk menginovasi lebih banyak produk dan membangunkan cara memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.
"Bahagian paling menggembirakan apabila pelanggan menzahirkan kami membantu menemui semula cinta terhadap sofa mereka.
“Rasanya kami benar-benar telah membuat perubahan,” ujarnya.
Dengan jenama itu terus berkembang di peringkat antarabangsa, Rachel berkata, salah satu matlamat terbesarnya adalah meneruskan langkah tersebut sambil kekal berakar umbi di Malaysia.
“Adalah satu kebanggaan kami membina perniagaan global dari sini, dan ingin menunjukkan bahawa anda tidak perlu berada di New York atau London untuk bersaing di pentas dunia.
"Kami adalah bukti bahawa anda boleh bermula dari kecil, berfikir besar dan mencipta sesuatu yang bermakna,” katanya. — The Star/NICOLE CHEW
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram