Sarawak sasar pengeluaran 240,000 tan padi menjelang 2030


  • Primer
  • Selasa, 21 Jan 2025

Peningkatan pengeluaran beras di negeri itu dijangka memberi impak positif dari segi keterjaminan makanan, eksport dan pengeluaran produk hiliran.

SARAWAK menyasarkan untuk mengeluarkan sebanyak 240,000 tan padi menjelang 2030 sebagai usahanya mengukuhkan isu keterjaminan makanan.

Bagi mencapai hasrat tersebut, pentadbiran negeri telah mengenal pasti beberapa kawasan penanaman padi antaranya di Meradong, Lawas, Limbang dan Kuching.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinaru

“Kami telah meminta Unimas (Universiti Malaysia Sarawak) mengkaji campuran benih hibrid dari China dengan benih padi dan sistem penanaman kami untuk meneliti kesesuaian benih itu.

“Ini mungkin meningkatkan pengeluaran daripada satu tan sehektar kepada sembilan tan sehektar, iaitu peningkatan sembilan kali ganda,” kata Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg kepada media pada Majlis Penuaian dan Perasmian Kilang Onemas Agriculture Sdn Bhd di Bintagor, Sarawak.

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg.- ZULAZHAR SHEBLEE/The Star

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg.

Peningkatan pengeluaran beras di negeri itu katanya, dijangka memberi impak positif dari segi keterjaminan makanan, eksport dan pengeluaran produk hiliran.

Beliau berkata, kerjasama pelbagai pihak seperti Unimas dan Onemas Sdn Bhd akan meningkatkan pengeluaran padi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada beras import dari negara seperti Vietnam, Thailand dan India.

Berhubung pemilihan Meradong, Abang Johari berkata tanah gambut di kawasan itu sesuai untuk penanaman padi dan kerajaan negeri akan memberi bantuan daripada segi infrastruktur pengairan.

“Masyarakat di sini sudah lama terlibat dalam aktiviti penanaman padi.

“Kami berhasrat untuk mengeluarkan lebih banyak beras dengan bantuan daripada pihak swasta.

“Kita akan mengkaji dasar yang akan diurus dan dipantau oleh Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom (Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Sarawak) untuk menggalakkan pekebun kecil menanam padi dengan kerajaan akan membeli beras dihasilkan,” kata Abang Johari. — The Star/ANDY CHUA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram