MRCC mohon bantuan BASARNAS, kesan 2 nelayan dipercayai hanyut ke perairan negara jiran


  • Primer
  • Sabtu, 18 Jan 2025

Anggota Maritim melaksanakan operasi mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan.

OPERASI mencari dan menyelamat dua nelayan yang hilang di perairan Pulau Undan, Melaka diperluas kepada kawasan seluas 1,372 kilometer persegi.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pencarian yang memasuki hari ketiga itu melibatkan penggunaan enam aset laut serta satu aset udara dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS).

Beliau turut memaklumkan bahawa seramai 54 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, termasuk Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terlibat dalam operasi tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Selamba seret besi, 'rider' bawa muatan berat bahayakan pengguna jalan raya di Sarawak

BACA LAGI: Pengunjung pasar ikan Sandakan terperanjat jumpa mayat tak berbaju terapung dekat jeti

"Pusat Penyelarasan Penyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya sudah memohon bantuan daripada Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) Indonesia bagi membantu mengesan kedua-dua mangsa.

"Ini kerana berdasarkan analisis Sistem Perancangan Optimum Mencari dan Menyelamat (SAROPS), terdapat kemungkinan mangsa sudah dihanyutkan ke perairan negara jiran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dua nelayan berkenaan, Muarep Sakem, 63 dan Rosenizam Maharam, 50, dilaporkan hilang ketika memukat ikan Rabu lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram