Selalu hilang resit, sukar kira 'wang keluar', pemuda ini cipta receipt tracker NajibAI guna WhatsApp


  • Bizz
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Dylan melancarkan kemudahana NajibAI yang masih di peringkat pengujian beta di aplikasi WhatsApp pada penghujung November tahun lalu.

BAGI mencapai pengurusan kewangan peribadi yang baik, pemantauan terhadap perbelanjaan harian merupakan antara langkah penting perlu dilakukan setiap individu.

Walaupun kelihatan mudah, ramai masih menghadapi kesukaran untuk melakukannya secara konsisten.

Perkara itu disulitkan lagi dengan kepantasan gaya hidup masa kini yang sering kali menyebabkan orang ramai terleka daripada membuat langkah tersebut.

BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim

BACA LAGI: Mahu orang Sabah dapat 'vinyl' pada harga mampu milik, jurutera penyelenggara helikopter buka kedai piring hitam di Kinarut

Bagaimanapun, tahukah anda, aktiviti memantau perbelanjaan harian boleh dilakukan di aplikasi WhatsApp menerusi sistem kecerdasan buatan (AI) perbualan dikenali sebagai NajibAI.

Untuk menggunakan kemudahan ini, pengguna hanya perlu merakam foto resit pembelian lalu dikongsikan bersama NajibAI bagi memantau kos telah dibelanjakan.

Sebaik menerima foto tersebut, ia akan merekod beberapa elemen iaitu nama perniagaan, tarikh transaksi, jumlah keseluruhan dibelanjakan dan jenis perbelanjaan antaranya makanan atau produk.

Ciri kemudahan percuma ini boleh digunakan sesiapa sahaja yang mempunyai akaun WhatsApp.

Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh meminta NajibAI mengira jumlah perbelanjaan keseluruhan dilakukan dalam bulan tersebut.

Cetusan idea pengalaman peribadi

6073141571555017779

NajibAI merekodkan beberapa elemen iaitu nama perniagaan, tarikh transaksi, jumlah dibelanjakan dan jenis perbelanjaan.

NajibAI merupakan kemudahan percuma dibangunkan Replyr.ai, syarikat penyedia perkhidmatan bagi perniagaan untuk mengautomasikan perkhidmatan pelanggan di platform WhatsApp.

Pengasasnya, Dylan Tan berkata, idea untuk membina sistem tersebut timbul daripada pengalamannya yang menghadapi kesukaran memantau perbelanjaan harian.

"Apabila makan di luar atau membeli-belah, saya selalu terlupa menyimpan resit. Jadi sukar untuk pantau kos telah dibelanjakan.

"Jadi saya fikir, mengapa tidak menggunakan teknologi yang saya bina untuk pelanggan.

"Contohnya, selepas makan di premis saya cuma ambil gambar resit dan AI akan ekstrak maklumat daripada resit itu dan simpan rekod tersebut," katanya kepada Majoriti.

NajibAI yang masih dalam fasa pengujian beta dilancarkan sekitar November lalu.

Berbeza dengan aplikasi kewangan lain, Dylan yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, NajibAI mengoptimumkan penggunaan AI untuk membolehkan ia lebih mesra kepada pengguna.

Malah katanya, pengguna juga boleh menggunakan bahasa harian untuk memintanya melakukan sebarang tugasan atau pengiraan.

"Jadi kita guna AI. Pengguna tak perlu muat naik atau tuliskan berapa dibelanjakan.

"Hanya kongsikan gambar dan AI ambil maklumat terdapat dalam gambar. Pengguna boleh berbual sama seperti menggunakan ChatGPT.

"Pengguna juga boleh guna bahasa kasual dan santai termasuk voice note.

"Misalnya, 'Eh minggu lepas saya belanja berapa?' atau 'berapa i belanja untuk makanan?' NajibAI akan memberi maklum balas dan menyimpan maklumat itu," kongsinya yang memaklumkan kemudahan itu kini boleh digunakan dalam dua bahasa iaitu bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris.

6073141571555017778

Pengguna hanya perlu kongsikan gambar resit membolehkan NajibAI merekodkan perbelanjaan dilakukan.

Ujarnya, selain kepakaran dimiliki, pemilihan WhatsApp menjadi pilihan kerana ia merupakan platform perbualan cukup popular di Malaysia dan Asia Tenggara.

Sementara itu, mengulas mengenai isu keselamatan data pengguna, Dylan berkata, setiap pengguna perlu memberi persetujuan supaya maklumat dikongsikan untuk digunakan Replyr.ai.

Lebih penting menurutnya, setiap pengguna juga memiliki kawalan terhadap data dikongsikan.

"Kalau mereka minta NajibAI untuk padam maklumat dikongsikan, kita akan padam maklumat tersebut dan kami terus tiada akses," katanya.

Apabila dilancarkan pada November lalu, Dylan berkata, minggu pertama menyaksikan NajibAI menerima lebih 1,000 pengguna.

Katanya, jumlah tersebut semakin meningkat sehingga menerima pengguna harian baharu.

Pemilihan nama

Dalam pada itu, Dylan berkata, pemilihan nama bagi NajibAI tidak mempunyai kaitan atau merujuk kepada mana-mana individu.

Ujarnya, pertimbangan nama tersebut disifatkan nama popular dan mudah diingati.

"Sebab orang tahu ada beratus receipt tracker dalam pasaran, tetapi belum ada yang guna nama NajibAI.

"Jadi tiada kaitan dengan mana-mana individu tertentu. Nama itu mudah diingati, itu sahaja," ujarnya.

Bergerak ke hadapan, Dylan berkata, buat masa ini, dia akan memastikan NajibAI terus boleh digunakan secara percuma kepada pengguna. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram