YAYASAN Hasanah yang merupakan cabang kebajikan Khazanah Nasional membawa misi mengangkat seni tempatan yang semakin dilupakan untuk dikenali bukan sahaja dalam negara, malah di persada antarabangsa.
Pengarah Urusannya, Siti Kamariah Ahmad Subki berkata, badan kebajikan tersebut tidak hanya berfungsi sebagai yayasan, sebaliknya turut menjadi tempat menghubungkan dan menyantuni individu atau artisan yang mempunyai semangat membawa perubahan kepada masyarakat.
Ia termasuk memperkenalkan kembali seni yang semakin dilupakan antaranya telepuk, tekat benang emas, labu sayong dan pelbagai lagi kekayaan hasil kraf di Malaysia menerusi ratusan program dijalankan.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Tidak semata-mata melibatkan pemberian dana, Siti Kamariah berkata, pihaknya turut memberikan bantuan dari segi pengukuhan ekosistem seni, pendidikan dan alam sekitar.
"Inisiatif ini bertujuan agar insan-insan yang mempunyai semangat melaksanakan program perubahan diangkat ke peringkat lebih tinggi," katanya kepada Majoriti.
Beliau ditemui ketika pada Majlis Pelancaran Buku Telepuk, Forgotten Flowers of Gold di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Dalam pada itu, Siti Kamariah berkata, Yayasan Hasanah ditubuhkan pada 2015 mempunyai mandat untuk mencipta impak sosial dengan menyelesaikan pelbagai masalah dan isu semasa di Malaysia.
Ia meliputi bidang pendidikan, seni, ruang awam, alam sekitar dan infrastruktur umum.
Menurut Siti Kamariah, selain dana Yayasan Hasanah juga memberikan bantuan dari segi pengukuhan ekosistem seni, pendidikan dan alam sekitar. — Facebook/Yayasan Hasanah
"Kita laksanakan banyak program dengan jumlah melebihi 700 program di seluruh negara dan telah memberi manfaat kepada lebih 3 juta rakyat Malaysia dalam pelbagai sektor.
"Visi saya adalah untuk memastikan landasan kukuh yang terbina daripada 2015 dapat mengangkat lagi segala bentuk usaha kami dalam bentuk seni, pendidikan, alam sekitar ke peringkat lebih tinggi ke persada antarabangsa.
"Misalnya, kami berharap seni telepuk bunga yang semakin hilang dapat dikenali peringkat UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan orang ramai lebih memahami seni dan budaya di tanah air kita," ujarnya.
Lengkapi artisan dengan teknologi
Seperti diketahui, rata-rata penggiat kraf seni tradisi terdiri daripada mereka yang sudah berusia.
Situasi itu menyebabkan sebahagian besar berdepan kesukaran memasarkan produk menggunakan teknologi terkini.
Mengulas mengenai keadaan itu, Siti Kamariah berkata, Yayasan Hasanah memiliki rakan pelaksana atau kumpulan masyarakat sivil yang menjalankan program di lapangan dan bekerja secara dekat dengan penggiat seni tradisi di Malaysia.
"Mereka mahir dan mengetahui selok-belok kedudukan masyarakat tempatan.
"Pada masa sama, menyelami hati dan keperluan. Jadi menerusi kerjasama dengan masyarakat tempatan, kita akan lebih dekat dengan mereka.
"Oleh itu, tiada isu sama ada tinggal di bandar atau di luar bandar kerana kami memastikan rakan pelaksana sentiasa menyantuni mereka," katanya.
Yayasan Hasanah turut menjadi tempat menghubungkan dan menyantuni individu atau artisan yang proaktif membawa perubahan kepada masyarakat. — Facebook/Yayasan Hasanah
Mengambil contoh inisiatif dilaksanakan Pergerakan Langkasuka, Siti Kamariah berkata, pihak tersebut sendiri hadir ke rumah Adiguru Allahyarham Norhaiza Noordin (Abe Jah) untuk mendekati Tokoh Kraf Negara itu ketika beliau masih hidup.
Ujarnya, langkah itu dilakukan bagi memberi segala bentuk sokongan diperlukan bagi memastikan Abe Jah dapat melatih enam orang perantis daripada 200 orang yang dilatih di bawah Yayasan Hasanah.
"Kita cuba kaitkan artisan-artisan ini dengan masyarakat setempat dan dekatkan mereka dengan pasaran.
"Kita juga pastikan rakan pelaksana memberi latihan dalam bentuk teknologi bagaimana memasarkan produk dalam media sosial seperti WhatsApp atau platform Shopee," ujar Siti Kamariah.
Kelestarian seni tempatan
Dalam pada itu, demi memastikan kelangsungan seni warisan negara terus lestari merentas generasi, Siti Kamariah berkata, terdapat dua inisiatif dijalankan bagi menyokong rakan pelaksana dan program dilaksanakan.
Pertama, Yayasan Hasanah menyediakan dana bagi menjalankan program perantisan untuk melatih pelapis berpotensi meneruskan aktiviti seni kreatif tersebut.
Memperkenalkan kembali seni negara yang semakin dilupakan antara misi Yayasan Hasanah. — Instragram/Raja Tun Uda Library
"Menerusi program pelapis sedemikian kita dapat memastikan seni seperti telepuk atau tekat benang tidak dilupakan.
"Bagaimanapun, proses ini memerlukan untuk belajar antaranya kami melatih 200 orang dan enam daripadanya sudah pun berjaya.
"Maksudnya kena istiqamah dan pastikan latihan sentiasa berterusan," ujarnya.
Seterusnya, yayasan berkenaan turut memperkenalkan Hassanah Gold Track Award atau Anugerah Benang Emas Hassanah, yang memberi penghargaan kepada mereka bergiat aktif dalam bidang tekstil.
Selain hadiah, pemenang anugerah turut mendapat peluang memasarkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi termasuk di peringkat global.
"Sebagai contoh, motif dihasilkan mereka (pemenang) akan digunakan oleh pereka fesyen pada Minggu Fesyen New York.
"Secara tidak langsung, langkah ini menunjukkan seni mereka bukan sekadar hasil dilakukan di kampung, namun mempunyai pasaran dan permintaan berterusan dalam pelbagai bentuk lapisan masyarakat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram