Kontroversi 'ham', 'ham sap', polis sahkan terima laporan terhadap Harith Iskander


  • 112
  • Selasa, 21 Jan 2025

Shahrol (kanan) beranggapan gurauan dibuat Harith di laman Facebook peribadinya tidak menjaga sensitiviti agama.

POLIS mengesahkan satu laporan sudah dibuat pelawak terkenal, Shahrol Shiro terhadap Harith Iskander yang mengeluarkan komen tidak sensitif terhadap agama Islam berhubung kes sandwic ham baru-baru ini.

Ketua Polis Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh mengesahkan Shahrol yang merupakan ahli Umno sudah membuat laporan di Balai Polis Kluang, Johor pada Isnin kira-kira pukul 5.30 petang.

"Semakan mendapati ia dibuat berhubung satu komen dikeluarkan menggunakan nama Cecelia Yap Song KL. Pengguna tersebut mengeluarkan komen berbunyi 'Semua nama mengandungi Mohammad perlu diubah' terhadap hantaran dibuat Harith," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Pelawak, ahli politik ada matlamat sama iaitu menghiburkan — Shahrul Shiro

BACA LAGI: [VIDEO] Shahrol Shiro tersilap hantar anak ke sekolah lain, selama ini isteri yang uruskan

WhatsApp Image 2025-01-21 at 3.01.32 PM

Harith membuat hantaran yang mencetuskan perbualan hangat di media sosial.

Bahrin turut berkata, laporan itu sudah dirujuk kepada Balai Polis Iskandar Puteri kerana laporan sama turut dibuat di balai tersebut.

Jelasnya, kes itu sedang disiasat di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Isnin, media melaporkan Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizie Azmi membuat laporan terhadap Harith berhubung hantaran yang dimuat naik di Facebook pada Sabtu lalu.

Dalam laporan yang dikongsikan Shahrol, perkongsian Harith di laman media sosial peribadinya itu menyebabkan pengguna lain turut serta mengeluarkan komen berbaur kecaman terhadap Islam.

'Harith Iskander dan Cecelia Yap, laporan polis on!' tulisnya dalam hantaran di Instagram berserta foto laporan polis berkenaan.

Pada Ahad, Shahrol menyatakan rasa kurang senang terhadap perkongsian Harith di laman Facebook dengan beranggapan gurauannya itu sensitif kerana menggunakan agama tanpa memikirkan sensitiviti kaum. — The Star/MOHD FARHAAN SHAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram