PELAWAK, Shahrol Shiro mendedahkan peristiwa dia tersilap menghantar anaknya ke sekolah yang berlainan selepas beberapa jam sesi bersekolahan bermula.
Perkongsian itu dibuat di laman TikToknya dengan memuat naik rakaman dia mengambil semula anaknya yang berusia tujuh tahun itu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu, Kluang, Johor.
Pada awalnya, Shahrol atau nama sebenar Shahrol Azizie Azmi menjelaskan dia menerima panggilan daripada guru di sekolah SK Kampung Melayu yang memaklumkan bahawa dia tersilap menghantar anaknya ke sekolah itu.
“Tak tahu sekolah eh? Ha kau ni mabuk eh? Nasib baik anaknya cerdik,” kata guru dalam video yang dimuat naik itu.
Apabila dicerita kepada isterinya untuk mendapatkan kepastian, ternyata anaknya didaftarkan di SK Tunku Mahmood, Kluang.
Shahrol kemudian meminta maaf kepada anaknya kerana bertindak menghantar ke sekolah yang salah.
Dalam pada itu, Shahrol turut memaklumkan kejadian sebegitu terjadi kerana kesibukan dirinya terhadap pekerjaan sehingga menyebabkan isterinya, Nor Farhanah Syamimi yang menguruskan kemasukan anaknya ke Tahun Satu.
Guru sekolah berkenaan juga menegur kecuaian Shahrol sambil menyatakan anaknya seorang yang bijak kerana menyedari berada di sekolah yang silap sekali gus memaklumkan guru kelas dihadirinya.
"Iqi dah siap masuk kelas belajar tapi dia pelik bila tengok padang tak sama macam sekolah dia sebelum ini.
"Terus dia jumpa cikgu beritahu dia tersilap sekolah. Apabila guru memeriksa tanda namanya berlainan dengan murid di situ, Iqi dihantar ke pejabat sebelum sekolah menghubungi saya.
"Kepada ayah di luar sana, jangan lakukan kesilapan sebegini. Maafkan ayah ya Iqi. Terima kasih cikgu-cikgu yang membantu," katanya menerusi video. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram