Kegemilangan masjid era Rasulullah, lambang keagungan umat Islam


  • Mukmin
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Perubahan Masjid Al Busyra membawa impak positif apabila masjid yang dianggap tempat untuk warga emas, kini menjadi lokasi tumpuan orang muda termasuk kanak-kanak.

KEBIASAANNYA masjid sering dikaitkan sebagai pusat ibadah yang berperanan menjadi titik pertemuan umat Islam dalam usaha membangunkan syiar Islam.

Hakikatnya, masjid turut mewujudkan fungsi penting yang menjadi pusat sosial, ekonomi, budaya dan pentadbiran pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Masjid Al Busyra yang terletak di Merbok, Kedah antara tempat ibadah umat islam yang telah menghidupkan semula kelaziman itu sejak lima tahun lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Simen taman rekreasi di Bandung dicungkil-cungkil remaja taksub aplikasi buru syiling

BACA LAGI: Tingkat kesalinghubungan laluan udara, Pulau Pinang perkukuh sektor pelancongan di Malaysia di mata dunia

Pengerusi dan imam masjid, Mohd. Firdaus Mat Akhir berkata, transformasi dilakukan ke atas masjid lama yang sudah berusia 52 tahun itu telah distrukturkan dengan rekaan lebih moden dan diberi nafas baharu seiring peredaran semasa.

Antara inisiatif dilaksanakan termasuk menaik taraf ruang solat, menambah hiasan seni reka masjid, membina tandas dan medan selera berkonsepkan ala hentian rehat dan rawat (R&R), kedai gunting rambut serta kedai mencuci kereta serta dewan serba guna.

407449125_377993818129348_6863914280696545868_n

Mohd. Firdaus

Selain mempunyai pusat dobi, kedai percetakan, spa dan salon muslimah, kedai runcit, kedai menjual aksesori telefon dan air telaga wakaf, terkini masjid berkenaan dalam proses pembinaan adalah hotel kontena.

Pelaksanaan tersebut dapat menambahkan lagi ruang dan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat

“Hasrat saya mahu menjadikan masjid ini mesra musafir pertama di Kedah apabila ia dibina berkonsepkan tanpa pagar dengan tujuan mengalu-alukan kedatangan pengunjung.

“Sesiapa sahaja boleh datang dan singgah pada bila-bila masa dan memanfaatkan segala kemudahan yang ada,” katanya yang mengakui transformasi itu menyebabkan masjid tersebut menjadi tumpuan bukan sahaja di Malaysia, malah turut dikunjungi pelancong dari negara jiran dan Eropah.

2HXV7RgE8mx.WOdOyRjWa2

Masjid Al Busyra yang terletak di Merbok, Kedah.

Mohd Firdaus menjelaskan, perubahan tersebut membawa impak positif apabila masjid yang dianggap tempat untuk warga emas, kini menjadi lokasi tumpuan orang muda termasuk kanak-kanak.

“Konsep imarah ini luas bukan sekadar solat semata-mata tetapi bagaimana masjid ini dihidupkan sepanjang masa. Sebab itu kita kembali kepada zaman Rasulullah yang menjadikan masjid sebagai pusat sehenti dengan mempunyai lebih 20 fungsi.

“Pada zaman nabi masjid menjadi tempat kemahiran, pusat wanita membuat andaman, hospitaliti, pusat latihan perang, tempat pertemuan orang luar bertemu Rasulullah, segalanya di masjid. Ia menjadi satu perlembagaan dalam sebuah negara pada waktu itu,” katanya.

2591783

Masjid Al Busyra diiktiraf Anugerah Masjid Terbaik Negeri Kedah Kategori Luar Bandar 2022.

Imam berusia 37 tahun itu mengakui pada peringkat awal, ideanya untuk merobohkan beberapa struktur lama untuk pembinaan baharu mendapat tentangan ahli jawatankuasa kerana ia membabitkan kos. Namun, selepas dijelaskan idea tersebut dipersetujui.

“Seperti idea merobohkan pagar, ia sebenarnya untuk mengalu-alukan kehadiran orang ramai. Setiap daripada kita ada kenangan. Misalnya, tengah malam nak ke tandas, pintu dikunci, tidur tidak boleh dan anak-anak bising kena marah, jadi pengalaman itu mengajar kita untuk menjadi lebih terbuka bagi mengajak orang dekat dengan masjid.

“Kita tidak mahu orang mencipta alasan untuk tidak ke masjid. Pengurusan masjid perlu faham apa matlamat kita dilantik? Apa matlamat masjid yang sebenar? Matlamatnya untuk alu-alukan orang datang ke masjid. Bagaimana kita sambut tetamu datang ke rumah, begitulah kita sambut orang yang datang ke rumah ALLAH,” katanya mengakui tiada kes kecurian selepas pagar masjid dirobohkan.

Info Masjid Al Busyra

Keluasan tapak masjid: 1 hektar

Kapasiti masjid: 800 jemaah

Kunjungan (anggaran): 6,000 setiap hujung minggu

Lokasi: Terletak di laluan utama ke Tanjung Dawai

Pencapaian:

- Diiktiraf Anugerah Masjid Terbaik Negeri Kedah Kategori Luar Bandar 2022.

- Menerima Anugerah Standard Pelancongan Asean (Peringkat Kebangsaan) bagi kategori tandas awam terbaik 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram