SEORANG bapa gagal menahan sabar selepas dua orang anaknya yang masih bersekolah dipercayai menjadi mangsa khianat pelajar lain.
Lebih menyedihkan, salah seorang daripada anaknya turut mengalami kecederaan patah rusuk dalam satu insiden terbaharu.
"Dua orang orang anak aku kena khianat. Allahuakbar ujian hebat. Orang dengki sangat ke kat anak aku. Pancing anak aku ajak meronda naik motosikal. Selepas itu tolak motosikal sampai jatuh..
"Nanti aku ajar balik budak tu sampai mendapat. Sampai patah rusuk anak aku dibuatnya. Ini kes khianat, dengki iri hati anak orang lebih cemburu," tulis seorang pengguna Facebook, Muss Ess Immer.
BACA LAGI: Tiga pesan guru ditemui ketika umrah jadi kekuatan Ikhlas bangunkan platform mesra Muslim
Dalam beberapa hantaran dibuat, lelaki berkenaan turut berkongsikan beberapa gambar memaparkan kecederaan dialami anaknya yang turut melibatkan kesan luka di bahagian muka dan tangan.
Pada masa sama, dia memuat naik gambar laporan imbasan X-Ray dipercayai memaparkan keadaan kecederaan dalaman dialami anaknya.
Sementara itu, lelaki berkenaan juga memaklumkan bahawa insiden buli berkenaan sememangnya sudah berlaku sejak di sekolah apabila anaknya sering diejek oleh pelajar lain.
Malah katanya, dia terpaksa memindahkan anaknya ke sekolah lain bermula pada tahun ini.
Ujar lelaki tersebut, usaha untuk mengadukan perkara tersebut kepada pihak sekolah juga didakwa tidak berhasil kerana tiada sebarang tindakan diambil.
"Daripada mereka sekolah lagi budak-budak sekolah suka ejek anak-anak aku. Cemburu apa tak tahu. Sedangkan anak aku ni diam sahaja. Aku tak bagi bercampur dengan orang lain. Sampai aku tukar sekolah lain tahun ini.
"Dengan cikgu disiplin yang anak aku mengadu tapi tak ambil tindakan dan sedap pula cikgu-cikgu kata anak orang kaya sikit-sikit nak mengadu.
"Kasut anak aku budak sekolah pijak-pijak. Pensel mereka patahkan. Buku-buku mereka rosakkan. Sampai takut nak pergi sekolah," ujarnya.
Sementara itu, menerusi perkongsian terbaharu yang dimuat naik di Facebook pada Selasa, Muss Ess Immer memaklumkan kecederaan dialami anaknya itu kini dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Perak.
Pada waktu ini, tidak dapat dipastikan sekolah dimaksudkan dalam hantaran terbabit.
Majoriti kini sedang cuba menghubungi lelaki berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Pihak berkuasa juga masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram