REKRUT untuk menjadi anggota penguatkuasa merupakan antara proses yang penuh dengan cabaran, bukan sahaja daripada segi kekuatan fizikal, malah melibatkan ketahanan mental dan jati diri.
Tidak menafikan perkara itu, dua peserta rekrut Jabatan Penguatkuasaan di Bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkesempatan berkongsi pengalaman sepanjang menjalankan latihan tersebut.
Tempoh enam bulan juga merupakan waktu kritikal buat Mohd Rifael Othaman, 33, dan Muhammad Haziq Husaibullah, 25.
BACA LAGI: [VIDEO] Penghantar piza jadi hero sanggup redah api selamatkan 5 mangsa kebakaran di AS
Mohd Rifael (kiri) dan Muhammad Haziq (kanan) yang sedang menjalani latihan rekrut sebagai penguatkuasa di MBPJ.
Mohd Rifael berkata, menjalani latihan rekrut sebagai penguatkuasa banyak mengajarnya pelbagai ilmu termasuk tentang undang-undang.
"Dalam masa empat bulan setakat ini, saya dapat belajar ilmu tentang undang-undang, cara kita bekerjasama dalam satu pasukan.
"Saya belajar betapa pentingnya kerjasama di samping itu menyemai sifat simpati dan integriti dalam diri.
"Kami juga sangat ditekankan untuk sentiasa menepati masa. Perlu selalu datang cepat dan tidak membuang masa," katanya kepada Majoriti.
Katanya, antara aspek yang ditekankan dalam latihan itu juga adalah ketahanan fizikal yang melibatkan aktiviti seperti larian.
Mohd Rifael berkata, kesemua anggota rekrut perlu melakukan larian sekurang-kurangnya lima hingga 10 kali setiap hari dengan anggaran jarak 2 kilometer sekali pusingan.
Menurutnya, latihan itu bukan sahaja meningkatkan kekuatan tubuh, tetapi membentuk disiplin yang tinggi dalam diri mereka.
"Kalau kita buat benda ni, memang kita rasa sangat tertekan, tapi kita kena tetap perlu tenang.
"Kalau kita tak tenang, kita akan buat keputusan yang salah," katanya.
Setiap anggota diuji dengan ketahanan fizikal dan mental sebelum berdepan dengan situasi yang lebih mencabar. — Gambar hiasan/MBPJ
Mohd Rifael juga menegaskan bahawa kekuatan mental sangat penting dalam menempuh setiap cabara termasuk menghadapi situasi yang berpotensi menimbulkan ketegangan dalam pasukan atau dengan orang awam.
Bagi berdepan dengan situasi tegang ketika bertugas, Muhammad Haziq berkata, kesabaran dalam menjaga tutur kata antara yang sering diterapkan sepanjang latihan.
"Antara operasi kami pernah terlibat yang sedikit mencabar adalah ketika operasi besi buruk.
"Pada waktu itu, ada satu serbuan di sebuah kedai menjual besi buruk kerana ada kesalahan menyimpan barang terlalu banyak sehingga mengganggu premis lain.
"Sepatutnya kami kena rampas besi buruk itu tetapi pemilik kedai berkeras dan seolah-olah mahu bergaduh.
"Jadi, ketika itulah para anggota diuji dengan kesabaran dan perlu bijak tangani masalah tersebut," katanya.
Jelasnya, sebagai anggota penguatkuasa berintegriti, mereka mengambil keputusan untuk berbincang dan menenangkan pemilik premis terbabit untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Menjalani latihan sebelum diiktiraf sebagai anggota tetap juga membuatkan mereka berpegang teguh kepada prinsip saling bantu-membantu antara satu sama lain.
Setiap anggota penguatkuasa perlu menerapkan prinsip bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain untuk mengatasi masalah buli. — Gambar hiasan
Isu buli
Mengulas ringkas tentang isu buli yang kini semakin berleluasa di Malaysia ini, mereka beranggapan bahawa perkara itu sepatutnya tidak berlaku.
"Kalau dalam situasi kami sekarang, tiada lagi isu-isu tersebut berlaku.
"Bagi kami, tiada istilah buli. Contohnya, kalua ada senior minta tolong, kami anggap ia sebagai satu tugas.
"Dalam kalangan kami juga selalu bergurau atau melawak sebab tak mahu fokus ke arah perkara negatif.
"Tetapi, kami juga saling bertolak-ansur antara satu sama lain," jelasnya.
Integriti
Mohd Rifael dan Muhammad Haziq pada masa sama memberi kesedaran terhadap isu rasuah dalam kalangan penguatkuasa dan orang awam.
Mereka menegaskan bahawa pentingnya menjaga integriti dan tidak mudah terpengaruh dengan sogokan.
Bagi mereka, integriti bukan sahaja pada penguatkuasa, tetapi juga orang awam.
Kedua-dua pihak juga seharusnya mengelakkan amalan memberi atau menerima sogokan dan tetap dengan prinsip menolak rasuah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram