Seramai 12 pelajar UMT direman kes pukul bergilir-gilir pelajar guna objek tumpul hingga cedera


  • 112
  • Rabu, 18 Dis 2024

Seramai 12 pelajar UMT, Terengganu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pukul secara bergilir-gilir membabitkan seorang pelajar lelaki.

SERAMAI 12 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Terengganu direman selama empat hari bagi bermula Rabu bagi membantu siasatan berhubung kes pukul secara bergilir-gilir membabitkan seorang pelajar lelaki di pusat pengajian tersebut.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kejadian itu berlaku di salah sebuah kolej kediaman universiti berkenaan.

Katanya, kesemua pelajar berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan pukul 6 petang Selasa selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.

BACA LAGI : Wanita nekad gigit tangan, cakar muka elak dirogol penjenayah di Kluang

BACA LAGI : [VIDEO] Suspek mengaku bunuh, ambil barang kemas Nurul Asikin kerana terdesak wang mahu lihat aksi Harimau Malaya di Kemboja

"Polis menerima laporan daripada seorang lelaki dari Melaka mendakwa anaknya yang berusia 20 tahun telah dipukul secara bergilir-gilir oleh beberapa pelajar lelaki di kolej kediaman.

"Anak lelaki pengadu turut menghantar beberapa keping gambar kecederaan dialami di beberapa anggota badan dalam kejadian antara pukul 1 hingga 5 pagi pada 15 Disember lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Wan Mohd Zaki lagi, bapa mangsa yang tinggal di Taman Seri Duyung, Melaka tiba di Terengganu pada 16 Disember dan terus membawa anaknya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan awal mendapati terdapat kecederaan lebam dan kecederaan dalaman pada badan mangsa akibat dipukul oleh objek tumpul.

"Kesan kecederaan terdapat pada bahagian lengan kiri dan kanan, pinggang kanan, dada, perut dan kaki sebelah kanan mangsa," katanya.

Susulan itu, pihak polis turut merampas senjata yang digunakan suspek di kolej kediaman tersebut.

Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Rabu untuk perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram