KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menambah lima lagi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, barangan itu ialah cili merah, bawang kuning besar, bawang merah besar import, sawi pendek atau sawi jepun bagi Semenanjung sementara kepak ayam disenaraikan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Jelasnya, penambahannya menyaksikan sebanyak 16 barangan berada dalam senarai barangan yang harganya dikawal sempena Tahun Baharu Cina berbanding hanya 11 tahun lalu.
BACA LAGI: MOT kuat kuasa larangan pergerakan kenderaan bawa barangan sempena Tahun Baharu Cina
BACA LAGI: Tahun Baharu Cina: Kos meningkat 15 peratus, pemilik nurseri tidak naikkan harga pokok bunga
Armizan mengumumkan pelaksanaan skim harga maksimum itu berlangsung selama sembilan hari.
Jelasnya, SHMMP bagi perayaan kali ini akan berlanjutan sehingga sembilan hari bermula Sabtu ini, iaitu empat hari sebelum dan empat hari selepas sambutannya.
Pengawalan skim harga itu akan dilaksanakan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang menghalang pemborong atau peniaga daripada menjual barangan dalam senarai melebihi harga siling ditetapkan.
Tambah Armizan lagi, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) akan turut dipergiatkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina, terutamanya dalam komuniti penduduk yang meraikannya.
"Setakat 20 Januari, sejumlah 472 program sudah dilancarkan dan ia akan terus dikembangkan," katanya sambil menegaskan pengenalan insiatif itu menjadi bukti komitmen kerajaan Madani untuk mengurangkan beban orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram