JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk 'Ham and Cheese Sandwich' tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Menurutnya, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat minggu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk 'Ham and Cheese Sandwich' yang diragui status halal.
BACA LAGI: Tiada kompromi bagi pegawai JPJ terbabit sindiket ‘stiker perlindungan’ lori — Anthony Loke
BACA LAGI: Pernah bergabung di Selangor, 3 pemain boleh jadi tonggak NSFC jika benar Nidzam Jamil tiba di Paroi
"Hasil pemeriksaan mendapati bahawa produk berkenaan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk tersebut bukan pemegang SPHM.
"Oleh itu, tindakan pihak syarikat mencetak logo halal Malaysia pada label produk berkenaan adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan tindakan undang-undang telah diambil oleh KPDN," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, beliau turut memberi pesanan kepada pengguna untuk sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal.
"Pengguna dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status halal sesuatu produk melalui Portal Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal.
"Pastikan produk tersebut telah dipersijilkan halal oleh pihak yang berautoriti," katanya.
Terdahulu media melaporkan Universiti Malaya (UM) menutup serta-merta dua premis jualan runcit 24-jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwich diragui status halal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram