BEKALAN makanan di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir tidak akan terjejas sepanjang bencana itu melanda.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr Fuziah Salleh berkata, pihaknya mengeluarkan lesen khas kepada pemborong untuk menambah keperluan sehingga 30 peratus.
Memetik laporan Astro Awani, ia dilakukan supaya makanan asas akan sentiasa ada sekiranya situasi banjir berterusan hingga membuatkan bekalan terputus.
BACA LAGI: KPDN minta bantuan negeri lain jika peruncit, pemborong di Kelantan terjejas akibat banjir
"Kita telah membuat persediaan sekurang-kurangnya dua bulan lepas dan seperti sekarang kita tahu Kelantan seolah-olah terkepung kerana banjir dan sukar untuk bekalan masuk.
"Tapi tidak perlu bimbang kerana mereka di sana (pemborong) sudah bersedia dengan stok yang kita percaya mencukupi.
"Jadi tidak akan timbul isu bekalan dari Kuala Lumpur untuk sampai negeri-negeri yang mengalami banjir atau dijangka mengalaminya terputus kerana bekalan sudah siap sedia berada dalam kawasan masing-masing," kata Fuziah pada Jumaat.
Hujan lebat yang tidak berhenti turun menyebabkan majoriti negeri di Malaysia berdepan situasi banjir dengan Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang antara yang terkesan teruk.
Negeri-negeri lain seperti Perlis, Selangor dan Johor juga berdepan situasi sama dengan jumlah mangsa terjejas menghampiri 90,000 orang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram