Program CSR PLUS beri manfaat lebih 300 murid sekolah agama


  • Massa
  • Jumaat, 29 Nov 2024

Mohd Fauzi (hadapan, kiri), Pengurus Wilayah Selatan PLUS, Hairunizam Sa’ad (kanan) dan pasukan semasa projek CSR di Gelang Patah.

LEBIH 300 murid di Sekolah Agama Kampung Pulai, Gelang Patah, Johor mendapat manfaat daripada peningkatan infrastruktur dan kemudahan berikutan program khidmat masyarakat oleh PLUS Malaysia Bhd.

Ketua Perniagaan Kemudahan Komersial syarikat konsesi lebuh raya itu, Mohd Fauzi Puniran berkata, sekolah berkenaan dipilih sebagai salah satu lokasi untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan mereka.

“Aktiviti yang dijalankan termasuk mengecat semula bangunan dan pagar sekolah, menggantikan papan tanda, membaiki pagar keselamatan serta membersihkan longkang.

“Kami juga melakukan penambahbaikan di pusat sumber dan bilik guru bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada warga sekolah,” katanya semasa program tersebut.

BACA LAGI: KPDN minta bantuan negeri lain jika peruncit, pemborong di Kelantan terjejas akibat banjir

BACA LAGI: Usaha kreatif lelaki Terangganu guna tong drum elak katil bapa terlantar sakit dibawa arus banjir

Menurut Mohd Fauzi, lebih 60 kakitangan PLUS terlibat dalam inisiatif itu bersama sukarelawan dari Universiti Teknologi Malaysia, pihak polis dan komuniti masyarakat setempat.

Mohd Fauzi berkata, syarikat konsesi lebuh raya itu aktif memberi sumbangan kepada masyarakat melalui inisiatif CSR sejak 2013 yang mana ia telah memberi manfaat kepada lebih 80,000 orang dalam pelbagai komuniti di seluruh negara.

“Ini adalah cara kami untuk mendekati komuniti yang tinggal di sepanjang 1,136km rangkaian PLUS di Malaysia,” ujarnya.

Pengetua sekolah, Siti Rohana Tukiman, mengucapkan terima kasih kepada pihak syarikat tersebut atas usaha mereka dalam menambah baik kemudahan sekolah.

“Kerja-kerja baik pulih bermula dua minggu lalu, tandas telah diperbaiki dan karpet baharu juga sudah dipasang di bilik guru.

"PLUS memaklumkan bahawa mereka juga merancang untuk menyediakan kolam ikan dan kawasan pelupusan sampah untuk sekolah ini," katanya.

Siti Rohana berkata, sekolah itu mempunyai seramai enam orang guru dan 340 murid yang mengikuti dua sesi persekolahan

“Kami masih kekurangan dewan untuk perhimpunan. Jika ada pengumuman penting, kebiasaannya perhimpunan diadakan pada lewat petang apabila cuaca lebih redup,” tambahnya. — The Star/ YEE XIANG YUN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram