SEKATAN jalan raya selama empat hari terhadap kenderaan membawa barangan akan dikuatkuasakan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meminimumkan risiko kemalangan.
Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, larangan itu akan berkuat kuasa pada 27 dan 28 Januari (sebelum perayaan) dan 1 dan 2 Februari (selepas perayaan).
Ia berkata, larangan itu diperkenalkan berikutan jangkaan peningkatan trafik kenderaan persendirian, kerana ramai yang akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk sambutan itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru suspek pukul penunggang OKU langgar tapak niaga Pasar Tani Padang Astaka
“Selain itu, Perintah Pengurangan Had Laju Kebangsaan akan dikuatkuasakan mulai 28 Januari hingga 2 Februari sebagai sebahagian daripada operasi Ops Selamat Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan akan mempertingkatkan usaha penguatkuasaan di seluruh negara melalui operasi Tahun Baharu Cina 2025 dan mengintegrasikan operasi dengan agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan pematuhan larangan itu.
Kementerian juga menasihati semua pemandu supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan mengutamakan keselamatan semasa berada di jalan raya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram