[VIDEO] Walau masih bersekolah, kafe aiskrim milik Zumberi semakin laris, khas untuk pelanggan wanita dan kanak-kanak


  • Bizz
  • Jumaat, 17 Jan 2025

Apa yang menjadikan kafe Baresha lebih unik adalah pemiliknya, Sumeja Zumberi masih bersekolah menengah.

SIAPA sangka sebuah kedai aiskrim yang mengkhususkan untuk golongan wanita sahaja mampu menjadi popular.

Di Bremen, Jerman sebuah kafe diberi nama Baresha, hanya terbuka untuk wanita dan kanak-kanak sibuk dengan kehadiran pelanggan meskipun baru beberapa minggu beroperasi.

Selain aiskrim, pengunjung juga tidak melepaskan peluang menikmati pelbagai hidangan lain seperti minuman, kek, wafel dan makanan ringan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pensyarah USM jadi kebanggaan 'kaki motor', hasilkan inovasi tayar kalis pancit, tidak bocor

BACA LAGI: Kemalangan jadi titik tolak budak JB ubah laluan hidup, kejayaan di UPM bawa nama ke Universiti Oxford

photo_6073165503112790768_x

Kafe Baresha hanya terbuka untuk pelanggan wanita dan kanak-kanak.

Keistimewaan Kafe Baresha terletak pada konsepnya yang hanya menerima pelanggan wanita dan kanak-kanak.

Pemiliknya, Sumeja Zumberi beranggapan punca kafenya dikunjungi ramai disebabkan pelanggan wanita berasa selesa berbanding mengunjungi tempat makan yang bercampur pelanggan lelaki dan perempuan.

"Mereka (pelanggan wanita) dapat berehat dan berbual tanpa gangguan," katanya.

Wanita berusia 18 tahun itu juga berkata, kebanyakan kafe di Bremen didominasi oleh golongan lelaki, maka Kafe Baresha dijadikan ruang istimewa untuk wanita.

Walaupun kafe khusus untuk wanita jarang ditemui di Jerman, konsep itu mendapat sambutan positif di sekitar Bremen.

Pengarah urusan kafe, Nathalie Rubsteck memberitahu, Kafe Baresha memberi peluang kepada wanita untuk berinteraksi dan berkongsi pendapat antara satu sama lain dalam suasana lebih selesa.

photo_6073165503112790769_x

Para wanita bebas dan teruja bersantai di Kafe Baresha tanpa kehadiran pelanggan lelaki.

Kafe itu juga mendapat penghargaan tinggi daripada penduduk kawasan Gropelingen yang ramai berasal dari negara-negara dengan budaya pemisahan antara jantina.

Zumberi, yang masih menuntut di sekolah menengah dan sedang mempersiapkan diri untuk mengambil lesen memandu mengakui bahawa kejayaan kafe itu tidak mungkin tercapai tanpa sokongan keluarga.

"Saya mendapat banyak bantuan daripada ibu bapa terutamanya ayah," katanya.

Zumberi berkata, bapa juga seorang usahawan berpengalaman dalam menguruskan kewangan dan insurans kafe.

"Ibu juga membantu dalam operasi harian kafe bagi membolehkan segala hal terurus dengan baik," katanya.

Idea membuka kafe itu datang daripada bapa Zumberi, yang lama berhasrat memiliki kedai aiskrim.

Setelah bertahun-tahun bekerja dalam pelbagai bidang, Zumberi akhirnya memutuskan untuk membuka perniagaan berkenaan.

"Di kawasan ini, banyak kedai aiskrim. Jadi kami mahu mencipta sesuatu kelainan iaitu kafe khusus untuk wanita," kata Zumberi.

Nama Baresha dipilih sebagai penghormatan kepada budaya asal mereka di Kosovo, merujuk kepada gembala wanita yang memikul pelbagai tanggungjawab.

Walaupun tiada data rasmi mengenai jumlah kafe wanita sahaja di Jerman, konsep itu bukanlah sesuatu yang baharu.

Beberapa tempat seperti rumah tamu wanita, hotel dengan ruang sarapan khusus wanita dan kafe shisha untuk wanita juga sudah beroperasi di negara berkenaan.

Selain itu, banyak organisasi amal turut menganjurkan kafe untuk wanita walaupun kebanyakannya bersifat sementara atau untuk komuniti tertentu.

Kafe Baresha kini menjadi tempat digemari ramai wanita di Bremen.

Selain menguruskan kafe, Zumberi bercita-cita menjadi guru dan merancang menjalankan Kafe Baresha sebagai perniagaan sampingan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram